Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

40 ustaz, ustazah jalani kursus kemahiran kenali, bantu isu masalah mental

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) baru-baru ini buat pertama kalinya mengorak langkah menganjurkan kursus tentang isu-isu kesihatan mental khusus buat para asatizah. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Esok, (10 Okt) adalah Hari Kesihatan Mental Sedunia. Tahukah anda, menjelang tahun 2020 - iaitu dua tahun lagi dari sekarang - dianggarkan 53,000 penduduk Singapura akan mengalami penyakit demensia. Menjelang tahun 2050 pula, penduduk Singapura yang mengalami demensia dijangka mencecah 187,000 orang.

Demikian menurut satu kajian pada 2015. Perangkaan ini belum termasuk pelbagai masalah dan penyakit-penyakit mental yang lain. Yang pasti, ini bermakna lebih banyak sokongan dan sukarelawan daripada masyarakat diperlukan untuk membantu menangani penyakit mental.

Di tengah-tengah keperluan sedemikian, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) baru-baru ini buat pertama kalinya mengorak langkah menganjurkan kursus tentang isu-isu kesihatan mental khusus buat para asatizah. Ia disertai sekitar 40 ustaz dan ustazah.

Menerusi bengkel tersebut, para asatizah didedahkan dengan pelbagai jenis dan aspek isu-isu kesihatan mental serta bagaimana untuk menanganinya. Isu-isu kesihatan mental yang disentuh dalam bengkel tersebut mencakupi kemahiran menguruskan krisis, memahami penyakit mental seperti ketagihan, gangguan pembangunan dan demensia, serta juga komunikasi, konsep rehabilitasi dan pemulihan.

Pergas akur bahawa menerusi inisiatif sebegini, para asatizah tempatan mendapat kemahiran baru yang boleh membantu anggota-anggota masyarakat dengan penyakit mental, selain menjadi sukarelawan dengan badan-badan Melayu/Islam yang menangani isu-isu mental seperti Club HEAL.

(Gambar-gambar: Pergas)

‘FARDU KIFAYAH’ BAGI PERGAS LENGKAPI ASATIZAH DENGAN KEMAHIRAN BARU

“Dengan melalui kursus ataupun yang kita panggil modul-modul yang ada, daripada Club HEAL, insya Allah asatizah boleh bergabung dengan kita melalui datang ke Club HEAL mungkin menjadi sukarelawan, menyumbang. Menyumbang tenaga boleh, dengan memberi menerusi kelebihan merekalah,” kata Kaunselor Club HEAL, Ustazah Balqis Maricar. Club HEAL bekerjasama dengan Pergas untuk menjalankan bengkel lima minggu itu, yang berakhir pada 12 September.

(Gambar-gambar: Pergas)

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp berhubung motivasi mengadakan inisiatif baru itu, Penolong Ketua Jabatan Kepimpinan Agama Pergas, Ustazah Fifiazlina Jalil berkata bahawa inisiatif itu dianggap sebagai "fardu kifayah" bagi Pergas untuk melengkapkan para asatizah dengan kemahiran-kemahiran dalam bidang-bidang baru seperti kaunseling.

Malah usaha Pergas itu juga boleh dilihat sebagai langkah menyahut seruan Pemerintah yang mahu usaha-usaha dipergiat bagi mewujudkan kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental sekaligus menjadikan rakyat Singapura sebuah masyarakat yang inklusif.

APABILA USTAZ, USTAZAH LEBIH DAPAT KENALI TANDA PENYAKIT MENTAL

Apabila BERITAmediacorp menghubungi Institut Kesihatan Mental (IMH) Singapura, pihak kami diberitahu bahawa kini terdapat lebih banyak kesedaran tentang perlunya bantuan awal bagi mereka yang mengalami sebarang bentuk masalah mental.

Lantaran itu usaha Pergas untuk melengkapkan para asatizah dengan kemahiran tersebut amat disambut baik oleh badan khidmat pemulihan psikiatri, Club HEAL.

Selepas mengikuti bengkel itu, para asatizah dapat lebih memahami dan boleh mengenal pasti tanda-tanda seseorang yang mengalami masalah mental.

Contohnya, apabila seseorang itu datang ke masjid, para asatizah boleh menilai sama ada individu itu mungkin sedang mengalami kemurungan, skizofrenia atau penyakit lain. Ini membolehkan asatizah untuk sekurang-kurangnya memberikan sokongan yang sepatutnya atau merujuk mereka kepada saluran-saluran bantuan yang betul.

Malah, bukan setakat itu sahaja. Bengkel tersebut juga seperti batu loncatan buat para asatizah yang berminat untuk mendalami bidang kaunseling dan jika lebih proaktif lagi, boleh mula turun padang untuk menyingsing lengan.

“Sekarang kita bikin modul ibarat sekadar mewujudkan kefahaman asas kan? Mungkin selepas mengikuti beberapa lagi sesi, mereka boleh menjadi sukarelawan, (belajar) bagaimana untuk mendekati seseorang (yang mengalami masalah kesihatan mental). Jadi ini amat membantu. Saya rasa ini peluang yang baiklah daripada Pergas,” tambah Ustazah Balqis.

(Gambar-gambar: Pergas)

ASATIZAH YANG IKUT SERTA AKUR MANFAATNYA

Ternyata, banyak manfaat yang diraih kumpulan asatizah tersebut daripada kursus ‘Situational Counselling’ itu, untuk diaplikasikan dalam pelbagai keadaan, sama ada yang membabitkan penyakit mental ataupun tidak.

“Kita lihat bahawa zaman sekarang ini pelajar-pelajar cenderung kepada perbuatan seperti bunuh diri (suicidal) dan sebagainya. Jadi ini trend yang membimbangkan bagi golongan asatizah. Apatah lagi kalau kita dapati bahawa pelajar zaman sekarang ini mereka sangat-sangat terdedah kepada kemurungan dan sebagainya.

(Gambar-gambar: Pergas)

"Jika perkara ini tidak ditangani dengan cara yang betul ia akan memberi satu kesan yang kurang wajar daripada diri pelajar tersebut,” kata Naib Pengetua, Sekolah Ugama Radin Mas (SURM) Ustaz Jalalludin Rumi Norman, yang menyertai kursus itu.

Bagi pendakwah bebas seperti Ustazah Nur Taufiq Siraj pula, beliau berasa akan dapat berkomunikasi dengan lebih baik dengan para pelajarnya.

“Saya mendapat banyak kemahiran-kemahiran baru dan juga minat saya dalam bidang seperti kaunseling itu bertambah, selepas menghadiri kursus ini,” kongsi Ustazah Nur Taufiq lagi.

(Gambar-gambar: Pergas)

SATU PELUASAN RUANG UNTUK KEKAL RELEVAN BUAT ASATIZAH

Hakikatnya, jika dahulu asatizah biasanya dikaitkan dengan kelas-kelas agama yang diajarkan dalam ruang-ruang konvensional seperti bilik-bilik darjah atau menyampaikan syarahan agama di masjid-masjid, peranan mereka kini semakin luas. Mentelah lagi, merekalah orang-orang yang sering menjadi rujukan bagi masyarakat Melayu/Islam kita baik dari segi persoalan-persoalan kecil sehinggalah isu-isu kontemporari.

"Sasaran kita adalah untuk memperlihatkan bahawa asatizah akan sentiasa kekal relevan dalam dunia dakwah," kata Ustazah Fifiazlina.

"Bukan sahaja asatizah itu hanya mengajar, tapi di sini kami lihat lebih daripada itu sebab kita faham bahawa tanggapan masyarakat terhadap asatizah terlalu tinggi bahawa asatizah menjadi sumber rujukan bagi masyarakat."

(Gambar-gambar: Pergas)

Yang pasti, dengan lebih banyak kesedaran tentang isu-isu kesihatan mental, lebih ramai sukarelawan juga amat diperlukan untuk membantu mereka. Maka, Pergas berharap inisiatif seperti bengkel Situational Counselling itu dapat menyumbang ke arah memenuhi keperluan tersebut.

“Pergas berharap dengan (adanya) kumpulan asatizah ini, mereka sentiasa bersedia untuk berkhidmat dengan masyarakat. Pergas (juga) berharap untuk bersama-sama asatizah ini membantu masyarakat Islam di Singapura khususnya mereka yang terjejas dengan kesihatan mental ini,” kongsi Pegawai Eksekutif, Pembangunan dan Latihan Asatizah, Jabatan Kepimpinan Agama, Pergas, Ustazah Nadhirah Mazelan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan