Images
  • ymc 1
    Para pelajar sekolah menengah dan Institut Millenia mengikuti bengkel undang-undang anjuran Kelab MENDAKI Muda (YMC). (Gambar-gambar: Syawal Yusoff)

40 pelajar Melayu/Islam 'muncul' di mahkamah

SINGAPURA: Sekitar 40 pelajar remaja 'masuk mahkamah' hari ini (10 Jun) - bukan kerana mereka dikenakan dakwaan - tetapi untuk mempelajari selok belok kerjaya seorang peguam.

Para pelajar Melayu/Islam itu menjadikan Mahkamah Negara sebagai 'kelas' mereka hari ini untuk melihat sendiri perbicaraan yang dijalankan di depan hakim dan di kandang orang tertuduh.

Para pelajar sekolah menengah dan Institut Millenia itu kemudian mengikuti pula satu bengkel undang-undang, di mana mereka mempelajari prinsip undang-undang serta membahaskan kes-kes sebenar.

Anjuran Kelab MENDAKI Muda (YMC) bengkel itu dikendalikan sekitar 20 mahasiswa dan alumni jurusan undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS), atas permintaan para pelajar dan ibu bapa.

"Matlamat atau harapan kami adalah untuk membuka mata para pelajar untuk memupuk minat mereka dan jika mereka ada minat, harap-harap pada masa depan bila mereka dewasa nanti, ini adalah satu aliran atau satu bidang yang mereka ingin ceburi," menurut Encik Danial Hakim Rosli, selaku Ketua Projek Bengkel Guaman YMC.

Ini baru kali kedua bengkel guaman seperti itu diadakan.

RESPON POSITIF PESERTA BENGKEL

Bagi peserta bernama Iffah Farahsyazana Abu Bakar, 19 tahun, dia sendiri pernah menyaksikan kehangatan satu kes rumahtangga dibahaskan di hadapannya semasa satu latihan kerja beberapa tahun lalu.


Sepasang suami isteri bertikam lidah di hadapan hakim kerana mahu memperjuangkan hak penjagaan anak mereka yang berusia empat dan enam tahun.

Mengimbas kembali tentang peristiwa itu, Iffah berasa sangat tersentuh.

Pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya hingga ke hari ini, sekali gus menambah minatnya terhadap kerjaya seorang peguam.

"Saya menyedari bahawa peguam-peguam ini bukan hanya memperjuangkan untuk keadilan ibu bapa mereka tetapi untuk masa depan anak-anak mereka juga," kata Iffah, pelajar tahun akhir di Institut Millenia.

MAHU JADI PEGUAM KERANA MINAT BERDEBAT

Bagi salah seorang lagi peserta dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Muhd Ammar Ridzuan, 16 tahun, bengkel kerjaya ini juga nampaknya berjaya memberi suntikan pengalaman berharga dan terus mendorong beliau untuk menceburi bidang guaman.


"Saya masih berminat untuk menjadi seorang peguam kerana saya ingin meneroka aspek-aspek undang-undang yang tidak saya ketahui.

"Menjadi seorang peguam, mereka melakukan banyak pembahasan dan banyak perdebatan. Dan saya minat dalam berdebat dengan orang lain dan (bengkel) ini membuatkan saya hendak menceburi bidang ini dengan lebih mendalam," kongsi Ammar kepada BERITAmediacorp.

Dia juga berazam untuk menuntut di NUS suatu hari nanti.

Selain peguam, kerjaya dalam bidang lain seperti kedihatan dan teknologi juga diperkenalkan melalui siri bengkel kerjaya YMC yang diadakan sepanjang tahun.

- BERITAmediacorp/zm

Top