Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 wad TTSH dikepung, kakitangan diarah cuti untuk bendung penularan

Seramai 76 kakitangan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) diarah mengambil cuti ketidakhadiran setelah sekumpulan kes COVID-19 dikesan, kata Dr Eugene Soh, ketua pegawai eksekutif hospital itu, pada Jumaat (30 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
4 wad TTSH dikepung, kakitangan diarah cuti untuk bendung penularan

Hospital Tan Tock Seng. (Gambar: Petikan dari Google Maps)

Diterbitkan : 30 Apr 2021 09:31PM Dikemas Kini : 30 Apr 2021 09:35PM

SINGAPURA: Seramai 76 kakitangan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) diarah mengambil cuti ketidakhadiran setelah sekumpulan kes COVID-19 dikesan, kata Dr Eugene Soh, ketua pegawai eksekutif hospital itu, pada Jumaat (30 Apr).

Bercakap semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19, Dr Soh berkata kelompok yang semakin bertambah itu adalah membimbangkan dan hospital sedang "bertindak pantas dengan pendekatan serampang tiga mata" untuk membendung dan mengawal jangkitan, sambil menjamin keselamatan pesakit dan kakitangan.

Langkah pertama merangkumi tindakan pembendungan segera untuk merawat dan menyelamatkan kakitangan atau pesakit, kata Dr Soh.

“Kami juga mengenal pasti pesakit dan kakitangan yang merupakan kontak rapat dengan kes positif. Hari ini, kami memindahkan 61 pesakit, termasuk pesakit yang disahkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

"Kami sejak itu juga menempatkan 76 kakitangan kami yang merupakan kontak rapat, di bawah cuti ketidakhadiran (LOA), menunggu arahan kuarantin mereka berdasarkan pengesanan kontak lebih lanjut," dedah Dr Soh.

Namun beliau menjangkakan bahawa kemungkinan "beberapa ratus" anggota kakitangan akan dikenakan LOA sedang pengesanan kontak dilakukan.

Untuk menangani cabaran tenaga kerja, hospital itu sudah mengurangkan elektif yang kurang mendesak, dan melencongkan kes-kes Kemalangan & Kecemasan yang tidak mengancam nyawa ke hospital lain.

Di samping itu, janji temu pesakit luar sedang disemak, dengan janji temu yang kurang penting akan dijadualkan semula.

Secara keseluruhan, empat wad hospital kini dikepung, kata Dr Soh. Ini setelah dua wad pertama dikepung pada Khamis. Mengepung wad bermaksud tiada pergerakan masuk atau keluar dari wad, jelas Dr Soh.

Terdapat juga pasukan kakitangan khas untuk menjaga para pesakit di wad itu.

Pesakit dan kakitangan lain di wad dalam wad tersebut sudah diuji. “Setakat ini, hasil ujian pertama untuk pesakit tersebut semuanya negatif. Mereka dipantau secara aktif untuk kesihatan dan kesejahteraan mereka,” kata Dr Soh.

LANGKAH PEMANTAUAN

Dr Soh menambah bahawa hospital itu sudah meningkatkan pengawasan klinikal terhadap semua pesakit dalam wad yang mengalami demam atau gejala yang berkaitan.

"Bagaimanapun, pesakit dengan COVID 19 mungkin tidak menunjukkan gejala. Jadi, inilah cabaran berhubung diagnosis dan pengawasan pesakit-pesakit ini,” tambahnya.

Pematuhan terhadap langkah keselamatan dan kebersihan juga dipertingkat, tambah Dr Soh. Di samping itu, hospital lebih kerap membersihkan dan membasmi kuman, termasuk untuk wad-wad yang sudah dikepung.

MEMANTAU LEBIH RAMAI ORANG

Dr Soh berkata pada masa ini terdapat 1,100 pesakit dalam hospital dan 4,500 kakitangan di situ - semuanya akan menjalani ujian swab. Semua pesakit dalam hospital akan diuji menjelang Jumaat malam, sementara 4,500 kakitangan akan menyelesaikan ujian swab mereka pada hujung minggu, tambah Dr Soh.

Pelawat tidak dibenarkan masuk ke hospital kecuali bagi kes tertentu melibatkan pesakit yang kritikal.

"Kami juga sudah menugaskan pegawai pesakit dan pegawai kebajikan kami untuk menyokong kesejahteraan pesakit dan kakitangan kami selama tempoh ini," kata Dr Soh.

5 PEKERJA, 2 PESAKIT SUDAH DIVAKSIN

Profesor Madya Kenneth Mak, pengarah perkhidmatan perubatan Kementerian Kesihatan, juga memberikan lebih banyak perincian mengenai kes-kes dalam kelompok TTSH.

Daripada 13 orang, lima adalah kakitangan termasuk dua doktor, seorang jururawat, seorang pembantu penjagaan kesihatan dan seorang pekerja pembersihan, yang bekerja di wad di mana kelompok itu pertama kali muncul. Empat daripada mereka sudah menjalani vaksinasi, katanya.

Lagi lapan orang adalah pesakit - tujuh daripadanya berasal dari Wad 9D, di mana kelompok itu mula dikesan, sementara yang terakhir berasal dari Ward 9C.

Daripada lapan pesakit itu, seorang pesakit sudah menerima kedua-dua dos vaksin, sementara seorang lagi hanya menerima satu dos. Prof Madya Mak berkata mereka yang mendapat vaksinasi memperoleh tahap perlindungan imun tertentu daripada vaksin tersebut.

"Namun seperti yang digambarkan oleh kelompok ini, vaksinasi tidak memberikan perlindungan 100 peratus. Ia meningkatkan daya tahan anda daripada mendapat jangkitan bergejala, mengurangkan risiko anda mendapat jangkitan dan menyebarkannya.

"Dan vaksinasi akan tetap menawarkan perlindungan bagi sebahagian besar penduduk dan kakitangan yang menerima vaksinasi tersebut," jelasnya.

Beliau menambah bahawa siasatan awal sudah dijalankan dan siasatan akan terus dilakukan.

"Sejauh ini, tiada masalah dengan mutu vaksin yang mereka terima. Juga tiada sebarang keprihatinan mengenai rantaian bekalan dingin vaksin hingga ke pusat vaksinasi tempat mereka menerima vaksinasi," katanya.

"Tentunya ada kemungkinan ini menandakan kes penembusan vaksinasi, tetapi ia memerlukan kajian lebih lanjut sebelum kita dapat mencirikannya dengan betul dan ini sedang dijalankan."

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan