Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 sekolah pendidikan khas terap kemahiran asas digital dalam kurikulum sekolah

Dalam usaha menerapkan kemahiran asas digital dalam kurikulum akademik, lebih 700 pelajar dari empat sekolah pendidikan khas akan mempelajari bagaimana untuk melakukan pembayaran secara elektronik, menggunakan wadah emel dan ruang sembang online, menjelang tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Jul 2019 01:26AM Dikemas Kini : 27 Jul 2019 01:31AM

SINGAPURA: Dalam usaha menerapkan kemahiran asas digital dalam kurikulum akademik, lebih 700 pelajar dari empat sekolah pendidikan khas akan mempelajari bagaimana untuk melakukan pembayaran secara elektronik, menggunakan wadah emel dan ruang sembang online, menjelang tahun depan.

Para pelajar dengan ketidakupayaan intelektual ringan dan masalah spektrum autistik adalah mereka dari Sekolah Tinggi Delta Persatuan Golongan Keperluan Khas (APSN), Sekolah Tanglin APSN, Sekolah Grace Orchard dan Sekolah Metta.

Inisiatif itu menyusuli maklum balas memberangsangkan dari satu program yang dirintis awal tahun ini. 70 pelajar menyertai program berkenaan, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Jumaat (26 Jul).

Pengetua Sekolah Grace Orchard Lisa Goh berkata, kemahiran-kemahiran itu membolehkan para pelajar menjadi lebih berdikari. "Mereka akan berupaya melungsuri laman-laman pemerintah - di mana mereka boleh menempah kemudahan-kemudahan sedia ada. Mereka juga boleh membeli barangan dapur secara online dan berpeluang bergaul dengan masyarakat dengan lebih baik," tambahnya.

"Jika mereka tidak mengikuti perkembangan ini, jika mereka tidak diajar... saya rasa sedang Singapura menuju ke arah Negara Bijak, mereka akan semakin ketinggalan."

Satu permainan realiti maya juga akan diperkenalkan, bagi membantu para pelajar mempelajari tentang kata laluan agar akaun mereka tidak mudah dicerobohi. Mereka juga berpeluang mempelajari bagaimana untuk mengenal pasti berita palsu dan mengatasi masalah buli siber.

Sebagai permulaan, ia akan ditawarkan di Sekolah Tanglin APSN. Sekolah-sekolah lain yang berminat boleh membuat permohonan kepada IMDA untuk menyertakan program tersebut (dalam kurikulum sekolah).

Ini merupakan antara inisiatif-inisiatif yang diumumkan Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran pada Jumaat (26 Julai) di pelancaran festival yang menggalak penggunaan digital lebih inklusif. Festival itu akan berlangsung selama tiga hari di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar.

Encik Iswaran berkata teknologi membolehkan orang ramai melakukan lebih banyak perkara, dan mengakses teknologi menjadi kunci utama bagi mutu kehidupan lebih baik.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap rakyat Singapura mampu menikmati manfaat-manfaat penggunaan teknologi, dan membantu orang ramai untuk bersiap sedia dalam bidang ini, terutama sekali warga emas dan mereka yang kurang upaya," kata Encik Iswaran.

"Membina masyarakat yang celik digital tidak hanya tentang memastikan teknologi tersedia untuk semua. Ia juga tentang melengkapi orang ramai dengan kemahiran untuk menggunakan teknologi dalam pelbagai cara yang akan mempertingkat kehidupan mereka."

Di acara tersebut, 40 warga emas turut menerima sijil kerana berjaya mengikuti kursus digital kendalian TOUCH Cyber Wellness, Facebook dan IMDA, di mana mereka mempelajari kemahiran-kemahiran seperti mengimbas kod QR dan melakukan pembayaran elektronik.

Antara inisiatif lain yang diumumkan di acara tersebut termasuk satu kerjasama antara IMDA dengan CreativesAtWork, dipanggil STOREYS. Projek itu mengajak para pencipta kandungan bebas untuk menyerahkan video-video tentang masyarakat, warga emas, sekitaran, keluarga, belia atau mereka yang kurang bernasib baik. Dengan tema "Framing a Better Home" (Merangka Kehidupan Lebih Baik), matlamat projek itu adalah untuk memanfaatkan platform-platform online untuk mencetuskan perbincangan bermakna berkaitan isu-isu ini.

Festival yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat dijangka menarik penyertaan 15,000 rakyat Singapura.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan