Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 restoran Melayu derma lebih 4,000 keping, bungkus makanan kepada pekerja kesihatan

Bukan sedikit. Sebanyak 4,000 epok-epok, 250 kotak samosa, 70 kotak pasta dan 60 paket nasi ayam. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bukan sedikit. Sebanyak 4,000 epok-epok, 250 kotak samosa, 70 kotak pasta dan 60 paket nasi ayam.

Itulah yang didermakan empat restoran Melayu/Islam - Rumah Makan Minang, Hjh Maimunah, Positano dan Kinamaya - demi menghargai dan menyokong para pekerja jagaan kesihatan dan pekerja barisan hadapan yang berjuang melindungi Singapura daripada penularan virus COVID-19.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin menyifatkan inisiatif tersebut sebagai patut "dicontohi" dan "dibanggakan".

Antara penerima 'hujan' makanan itu adalah lebih daripada 100 jururawat dan kakitangan Hospital Besar Singapura (SGH) dari pelbagai jabatan hari ini (17 Feb).

Curahan budi baik dan 'terima kasih' daripada masyarakat kepada mereka itu membuatkan kesemua mereka tersenyum dan semua lelah seakan hilang seketika di tengah-tengah krisis COVID-19

Satu persatu mereka kemudian beratur dan menerima habuan makanan masing-masing yang diserahkan pihak restoran kepada mereka menerusi Encik Amrin dalam 'acara' di Blok 6 SGH itu.

Inisiatif ini lebih bermakna lagi kerana sebelum ini muncul kisah-kisah diskriminasi terhadap jururawat misalnya yang disisihkan di MRT dan lif oleh sebahagian orang.

Malah sebahagian pekerja penghantaran makanan juga dikatakan enggan membuat kiriman kepada para pekerja kesihatan dek takutkan virus COVID-19.

MASYARAKAT BERSAMA KAMI

Bagi Timbalan Pengarah Jabatan Pentadbiran Kejururawatan Cik Norhayati Ahmad, pemberian makanan itu amat menyentuhnya dirinya dan para jururawat yang lain.

Cik Norhayati berkata ia memberikan rangsangan dan semangat bahawa para jururawat tidak bersendirian dalam waktu dan saat genting melawan COVID-19.

Selain makanan, Cik Norhayati berkongsi bahawa anggota masyarakat juga memberikan mereka kad-kad, bunga dan kata-kata perangsang.

"Sungguh berterima kasih atas restoran yang memberi kepada kami dan saya melihat wajah-wajah jururawat yang ada pada hari ini sungguh gembira," kongsi beliau dengan pihak kami.

HULUR SOKONGAN SELAMA SEBULAN

Bagi Rumah Makan Minang, yang mengikrarkan 4,000 epok-epok, usaha murni ini dilakukan selama empat minggu.

Pemilik Bersama Rumah Makan Minang, Encik Muhammad Hazmi Mohamad Zin misalnya berkongsi, sejak minggu lalu lagi beliau dan adik beradiknya sudah memberikan sekitar 1,000 epok-epok sardin dan kentang kepada kakitangan perubatan dan jururawat.

"Kita memberi makan kepada jururawat kerana berterima kasih mereka kerana menjadi barisan hadapan kepada bagi situasi masa kini.

"Jadi, kita bersyukur yang mereka berkhidmat untuk keadaan yang kritikal sekarang ini," katanya.

Kedai makan Kinamaya menghadiahkan 60 paket Nasi Ayam Geprek kepada kakitangan SGH.

Pemilik kedai tersebut, Encik Syazwan Maktar berkata beliau tergerak untuk melakukan usaha murni itu setelah melihat reaksi negatif dan layanan buruk yang diberikan sesetengah anggota masyarakat kepada kakitangan dan para jururawat.

"Artikel-artikel yang dikongsi oleh kawan-kawan saya seperti ada pekerja hospital yang tidak diberi layanan yang sepatutnya, mereka mahu menjauhkan diri dari pekerja-pekerja hospital ini.

"Saya rasa apa yang boleh saya sumbang ialah melalui makanan untuk memberikan mereka sokongan yang mereka sepatutnya terima," kata beliau.

AMRIN: TUNJUKKAN APA MAKNA SEBENAR S'PURA

Encik Amrin akur bahawa bahawa terdapat sebilangan anggota masyarakat yang memaparkan sikap-sikap diskriminasi yang "kurang manis" dan "memalukan". Sikap sebegitu perlu diubah kata beliau.

Sebaliknya dorongan dan sokongan perlu diberikan kepada para pekerja barisan hadapan kerana bukan sahaja mereka memainkan peranan genting dalam memerangi virus itu, malah mereka juga merupakan manusia biasa yang mungkin melalui perasaan yang sama seperti masyarakat lain.

"Apabila insiden-insiden yang kurang manis berlaku haruslah kita tegas... dan kita tonjolkan semangat yang baik dan kita berikan perangsang dan sokongan kepada mereka," tegas Encik Amrin.

Lantaran itu beliau memuji pemberian ikhlas para usahawan Melayu/Islam itu sebagai patut dicontohi dan sesuatu yang dibanggakan.

"Hari ini kita telah melihat semangat Singapura yang sangat ketara yang boleh kita banggakan di mana semangat bergotong royong itu masih kuat, di masa kesusahan di masa saat-saat krisis, masyarakat sama-sama membantu antara satu sama lain.

"Jadi, saya sangat bangga kerana hari ini usahawan melayu kita daripada Rumah Minang, Positano, dan Hajah Maimunah dan berbagai-bagai lagi usahawan kita telah menyumbang tenaga mereka, makanan mereka untuk berkongsi supaya jururawat kita, kakitangan kita di SGH berasa gembira dan berasa mereka dihargai," ujar Encik Amrin.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan