Images
  • nus student
    (Gambar: Mediacorp)

4 program baru bekerja sambil belajar SkillsFuture dilancar; tawar lebih 140 tempat dalam masa 2 tahun

SINGAPURA: Para siswazah baru akan mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan dengan empat program bekerja sambil belajar SkillsFuture yang baru didedahkan di pameran maya SkillsFuture pada Rabu (12 Ogos).

Program-program itu, yang diperkenalkan oleh Institut Pengajian Tinggi (IHL), akan menawarkan rakyat Singapura dengan lebih 140 tempat sepanjang dua tahun berikutnya.

Antara program ijazah melalui bekerja sambil belajar SkillsFuture yang baru itu dikendalikan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) dengan kerjasama bersama SkillsFuture Singapore dan Sea Limited - sebuah syarikat internet pengguna sejagat yang berpangkalan di Singapura.

Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Gan Siow Huang berkata pada Rabu bahawa Pemerintah sudah menetapkan sasaran untuk menyediakan peluang bekerja sambil belajar kepada 12 peratus pelajar bagi setiap kohort menjelang 2025. 

Bercakap di acara maya tersebut, beliau berkata: "Kami sangat yakin pada nilai unik program bekerja sambil belajar untuk kedua-dua pelajar dan majikan.

"Itulah sebabnya kami komited untuk memperluaskan program bekerja sambil belajar dan menjadikannya haluan utama sebagai sebahagian daripada rancangan kami."

Lebih 5,600 pelajar sudahpun meraih manfaat daripada program-program itu sejak ia pertama kali dilancarkan pada 2015, dengan lebih 1,400 syarikat mengambil bahagian, kata Cik Gan.

Jumlah program juga sudah diperluaskan, dari 15 kursus meliputi 12 sektor kepada 173 program merangkumi 36 sektor, tambah beliau.

IJAZAH BEKERJA SAMBIL BELAJAR SKILLSFUTURE YANG PERTAMA

NUS, SkillsFuture Singapore, Politeknik Ngee Ann dan Politeknik Singapura menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) untuk melancarkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Pengkomputeran bagi ijazah bekerja sambil belajar ini.

Ia akan diperkenalkan pada pertengahan Ogos dan akan disampaikan melalui kaedah penempatan dan latihan di mana peserta akan diambil bekerja sebagai penganalisis muda sepenuh masa dengan syarikat Sea sebelum kursus bermula.

Mereka yang menyelesaikan program selama tiga tahun setengah itu akan menamatkan pengajian dengan segulung ijazah dari NUS dan akan menjadi penganalisis sepenuh masa dalam syarikat berkenaan.

Sea adalah syarikat terbesar di Asia Tenggara, dengan nilai pasaran melebihi S$65 bilion, kata Cik Gan, sambil menambah bahawa syarikat teknologi itu komited untuk mengambil 120 pelajar dalam tempoh lima tahun akan datang.

Para pelajar dari Politeknik Ngee Ann dan Politeknik SIngapura dipelawa untuk mengambil bahagian dalam pelancaran sulungnya dan pendaftaran seterusnya akan dibuka kepada semua lulusan Politeknik yang layak daripada disiplin yang relevan.

PROGRAM BEKERJA SAMBIL BELAJAR POLITEKNIK

Politeknik Nanyang, Politeknik Republik dan Politeknik Temasek akan melancarkan tiga program bekerja sambil belajar SkillsFuture yang baru dalam sektor-sektor sains bioperubatan serta media.

Pos diploma program bekerja sambil belajar Politeknik Nanyang akan bermula pada bulan September dan bertujuan untuk melengkapkan para peserta dengan kemahiran mencipta kandungan digital serta e-dagang.

Politeknik Republik akan memperkenalkan sijil bekerja sambil belajar pada Oktober, bermula dengan Diploma dalam Amalan Perniagaan (pemasaran dan penjenamaan digital) secara sambilan. Kursus itu bertujuan untuk mengajar lulusan daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kemahiran pemasaran digital dan penjenamaan yang praktikal.

Sementara itu, Politeknik Temasek akan memperkenalkan sijil bekerja sambil belajar bagi Diploma dalam Sains Gunaan (teknologi veterinar) secara sambilan bagi lulusan ITE. Mereka akan berlatih dalam diagnostik veterinar dan menimba pengetahuan serta kemahiran dalam penjagaan dan kebajikan haiwan. Ia akan bermula pada April 2021.

Selain itu, Politeknik Singapura menandatangani kerjasama lima tahun dengan Majlis Pentauliahan Singapura untuk mempertingkatkan program bekerja sambil belajarnya bagi Diploma dalam Sains Gunaan (teknologi makmal kimia).

PORTAL BARU BEKERJA SAMBIL BELAJAR SKILLSFUTURE

Satu portal baru bekerja sambil belajar SkillsFuture juga dibangunkan "untuk membantu dalam usaha pendampingan yang lebih luas dan meningkatkan kecekapan pemadanan pekerjaan" bagi program-program tersebut, kata Cik Gan.

Calon pelajar dapat mengetahui lebih lanjut mengenai kursus dan mendaftar bagi peluang dengan syarikat yang turut serta dalam portal berkenaan. Majikan juga boleh mendaftarkan penyertaan masing-masing, memuat naik jawatan kosong dan mengambil pelatih yang sesuai.

Lebih 130 peluang pekerjaan dari lebih 80 syarikat kini disenaraikan dalam portal itu. 

- CNA/FZ/fz

Top