Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 lelaki disiasat, bertindak kasar terhadap pegawai penguatkuasa, langgar peraturan COVID-19

Seramai empat lelaki sedang disiasat kerana didakwa bertindak kasar terhadap penguatkuasa jarak selamat dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam insiden-insiden berasingan, menurut polis pada Selasa (2 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
4 lelaki disiasat, bertindak kasar terhadap pegawai penguatkuasa, langgar peraturan COVID-19

Lilitan berwarna merah disarungkan di lengan seorang pegawai penguat kuasa jarak selamat di Singapura. (Gambar: Kementerian Sekitaran dan Sumber Air)

Diterbitkan : 02 Nov 2021 05:14PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 05:17PM

SINGAPURA: Seramai empat lelaki sedang disiasat kerana didakwa bertindak kasar terhadap penguatkuasa jarak selamat dari Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam insiden-insiden berasingan, menurut polis pada Selasa (2 Nov).

Insiden pertama berlaku pada 15 September apabila polis menerima panggilan meminta bantuan bagi satu kekecohan di Pasar dan Pusat Makan Teck Ghee.

Seorang pegawai penguatkuasaan jarak selamat melihat berlaku pertikaian antara sekumpulan tiga lelaki dengan satu pasangan. Pegawai itu mencelah dan menasihati mereka untuk berhenti serta memaklumkan kepada tiga lelaki itu bahawa mereka seharusnya tidak duduk makan di luar dalam kumpulan tiga orang.

Seorang lelaki 24 tahun yang merupakan sebahagian daripada kumpulan tiga orang itu didakwa "bertindak balas secara kasar" dan mula menghamburkan kata-kata kesat ke arah pegawai itu. Dia juga didakwa mencampak semangkuk mi ke arah pegawai berkenaan, mengotorkan bajunya. Mujur, pegawai itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis menyatakan lelaki itu ditahan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang seorang penjawat awam daripada melakukan tugasnya dan kerana menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya. Lelaki itu dan teman-temannya juga sedang disiasat kerana melanggar langkah-langkah jarak selamat.

Dalam insiden kedua, polis menerima panggilan daripada seorang pegawai jarak selamat pada 1 Oktober.

Pegawai itu memberitahu polis bahawa seorang lelaki 30 tahun bertindak secara kasar terhadap rakan tugasnya ketika mereka sedang melakukan tugas penguatkuasaan di Pusat Makanan Golden Mile.

Beliau mendapati salah seorang teman lelaki itu bergerak antara tiga meja yang sudahpun diduduki orang lain dan menasihatinya supaya tidak melakukan demikian.

Kawannya itu didakwa tidak mengendahkan nasihat tersebut lantas pegawai tersebut meminta butirannya untuk mengambil tindakan penguatkuasaan. Lelaki tersebut campur tangan untuk membela temannya itu dan didakwa memaki pegawai berkenaan.

Insiden ketiga pula berlaku pada 2 Oktober di Pusat Makanan Sims Vista.

Polis dimaklumkan bahawa seorang lelaki 61 tahun mengugut seorang pegawai penguatkuasaan jarak selamat dengan botol bir sewaktu beliau sedang menjalankan tugasnya.

Pegawai itu mendapati pelitup lelaki tersebut dipakai di bawah hidungnya dan menasihatinya agar memakai pelitup dengan betul. Lelaki tersebut didakwa tidak menghiraukan nasihat pegawai itu dan terus berjalan pergi. Pegawai itu menghampiri lelaki tersebut sekali lagi tetapi kali ini, lelaki itu bertindak balas secara kasar dengan menghamburkan kata-kata kesat terhadapnya.

Dia juga didakwa mengambil botol bir dan mengajukannya ke arah pegawai itu, menurut polis.

Lelaki tersebut diberkas kerana menganggu ketenteraman awam. Dia juga akan disiasat kerana menghamburkan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam dan melanggar langkah-langkah jarak selamat.

Insiden keempat berlaku pada 23 Oktober di Pusat Makanan Redhill di mana polis dimaklumkan tentang seorang lelaki 53 tahun yang menyerang dua pegawai penguatkuasaan.
Pegawai itu mendapati lelaki tersebut duduk makan di luar bersama lagi tiga individu dan menasihati mereka supaya duduk berasingan. Mereka mengikut nasihat itu.

Namun, apabila diperiksa status vaksinasi kumpulan itu, mereka mendapati lelaki 53 tahun itu belum divaksin.

Lelaki tersebut dinasihatkan agar meninggalkan pusat makanan berkenaan kerana dia tidak dibenarkan duduk makan di luar. Walau bagaimanapun, lelaki itu didakwa menumbuk salah seorang pegawai di muka dan seorang lagi di leher.

Lelaki tersebut ditahan kerana mencederakan dengan sengaja seorang penjawat awam untuk menghalangnya daripada menjalankan tugasnya. Dia dan lagi tiga temannya itu juga sedang disiasat kerana melanggar langkah-langkah jarak selamat.

"Siasatan polis ke atas semua kes tersebut sedang dijalankan," menurut pihak berkuasa.

Polis menambah bahawa ia memandang serius tindakan menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai penguatkuasaan. Orang ramai juga dinasihati mematuhi langkah-langkah jarak selamat sedia ada.

Atas kesalahan mencederakan dengan sengaja untuk menghalang seorang pegawai perkhidmatan awam daripada melakukan tugasnya, pesalah boleh didenda atau disebat, dipenjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan menghamburkan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam atau petugas perkhidmatan awam, pesalah boleh didenda sehingga S$5,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang sabit kesalahan melanggar peraturan COVID-19 boleh didenda sehingga S$10,000, dijel sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan