Images
  • telegram
    (Gambar fail: Dado Ruvic/Reuters)

4 lelaki diberkas sebar bahan lucah di Telegram

SINGAPURA: Empat lelaki diberkas kerana disyaki terlibat menyebarkan bahan-bahan lucah dalam kumpulan sembang aplikasi Telegram dipanggil 'Sam's Lots of CB Collection'.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang berusia antara 29 tahun hingga 45 tahun, merupakan pentadbir kumpulan sembang itu, menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (8 Nov) sambil merujuk kepada hasil siasatan awal.

Lelaki keempat berusia 26 tahun dipercayai mengiklankan penjualan bahan-bahan lucah, menurut polis.

Polis menyatakan, pihaknya menerima laporan mengenai kumpulan sembang itu pada 24 Oktober.

Kesemua lelaki itu diberkas pada Rabu (7 Nov) dan lebih 15 alat elektronik - termasuk sebuah Unit Pemrosesan Pusat, beberapa komputer riba, pemacu cakera keras dan telefon bimbit - turut dirampas, menurut kenyataan itu lagi.

Siasatan sedang dijalankan. Sesiapa yang didapati bersalah menyebarkan bahan-bahan lucah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihati supaya berhenti mencari pelanggan di mana-mana laman web lucah atau menyertai wadah-wadah online sedemikian," menurut SPF.

Tambahnya lagi: "Polis memandang serius sesiapa yang terbabit dalam kegiatan jenayah dan akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang."  

- CNA/AI/fz

Top