Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 beradik Ustazah Nurul ‘Izzah finalis Musabaqah Tilawah al-Quran Kebangsaan

Dalam satu perkembangan menarik yang jarang-jarang kita lihat, empat orang adik beradik ini menjadi finalis Musabaqah Tilawah Al-Quran 2019 peringkat kebangsaan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
4 beradik Ustazah Nurul ‘Izzah finalis Musabaqah Tilawah al-Quran Kebangsaan

Ustazah Nurul 'Izzah, Ustaz Muhd Tamliikhaa, Ustazah Aliah Husna dan Ustaz Muhd Tirmizi. (Gambar-Gambar: Nurul 'Izzah Khamsani)

BERITAmediacorp: Dalam satu perkembangan menarik yang jarang-jarang kita lihat, empat orang adik beradik ini menjadi finalis Musabaqah Tilawah Al-Quran 2019 peringkat kebangsaan Singapura.

Kesemua mereka bergelar Ustaz dan Ustazah, dengan dua bertanding dalam kategori lelaki dewasa dan dua dalam kategori wanita dewasa. Mereka ialah Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani, Ustaz Muhd Tamliikhaa Khamsani, Ustaz Muhd Tirmizi Khamsani dan Ustazah Aliah Husna Khamsani.

(Gambar: Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura)

(Gambar: Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura)

Itulah keistimewaan musabaqah al-Quran kali ini yang menonjolkan ‘penguasaan’ keluarga ‘Khamsani’ dalam bidang tarannum. Atau dalam lain perkataan, ‘kejayaan’ keluarga Khamsani membentuk sebuah 'keluarga tilawah Al-Quran’.

Mereka adalah antara 10 qari dan qariah tempatan yang bakal berentap di peringkat akhir pada Ahad (18 Ogos), dalam musabaqah anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Bermakna, hampir separuh adalah dari keluarga Khamsani.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama anak-anak Ustaz Khamsani Karim, 61 tahun, menyertai pertandingan tilawah al-Quran dan bukan juga kali pertama sampai ke peringkat akhir. Namun yang pasti, tahun ini merupakan kali pertama kesemua empat beradik bertanding dalam kategori dewasa dan kesemuanya layak ke pusingan akhir.

(Gambar: Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura)

(Gambar: Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura)

SEJAK KECIL TAHUN DEMI TAHUN SERTAI MUSABAQAH TILAWAH AL-QURAN

Semasa dihubungi, Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani, berusia 34 tahun, memberitahu BERITAmediacorp bahawa sebenarnya beliau dan adik-adiknya hampir setiap tahun menyertai pertandingan tilawah al-Quran anjuran MUIS.

“Memang kami adik beradik selalu sertai. Adik saya (yang bongsu) daripada kanak-kanak dia dah masuk. Kemudian peringkat belia pun dia pernah masuk. Sekarang dia tahun pertama masuk peringkat dewasa. Kirakan pertama kali dalam kategori dewasa dia dapat tembus ke peringkat akhir,” kata Ustazah Nurul ‘Izzah yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik.

(Gambar: Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura)

(Gambar: Majlis Tilawah & Tahfiz Al-Quran Singapura)

Kesemua tujuh beradik itu handal-handal belaka dalam bacaan tarannum al-Quran, iaitu membaca al-Quran dengan tajwid serta ‘lagu’ yang betul. Kemahiran itu malah sudah dipupuk sejak mereka kecil lagi dan kini begitu sebati dalam jiwa mereka.

Ustazah Nurul ‘Izzah berkata kemahiran mereka itu adalah atas didikan dan usaha bapanya, Ustaz Khamsani.

“Ayah minat tengok orang baca al-Quran, tengok musabaqah tilawah al-Quran. Ayah bawa kita sekali.

“Semuanya mula semasa ayah masih kecil. Datuk saya pun minat, dia suka tilawah. Dari situ datang semangat ayah. Macam orang-orang biasa tapi kerana suka, Allah gerakkan hati dia untuk berusaha, dia tak boleh tapi anak-anak dia boleh. Mungkin berkat dia punya kesungguhan, keikhlasan dia,” cerita Ustazah Nurul ‘Izzah yang juga adalah salah seorang Duta Bahasa Melayu bagi Bulan Bahasa.

(Gambar-Gambar: Nurul 'Izzah Khamsani) 

Keluarga Encik Khamsani. (Gambar: Nurul 'Izzah Khamsani) 

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, pernah menjadi juara musabaqah al-Quran kebangsaan Singapura pada 2016, dan lapan kali menjadi naib juara.

PENGORBANAN “DAHSYAT” SANG BAPA

Sesungguhnya, besar pengorbanan Ustaz Khamsani serta tidak ternilai demi melihat anak-anaknya membesar sebagai insan-insan yang memartabatkan al-Quran.

“Ayah punya pengorbanan sangat dahsyat. Zaman dulu kita balik sekolah, buat kerja sekolah semua. Selepas itu sambung lagi pergi belajar al-Quran sampai jauh malam. Pernah balik rumah pukul 12.00 malam. Belajar al-Quran dengan bermacam-macam guru di merata Singapura,” kongsi Ustazah Nurul ‘Izzah kepada BERITAmediacorp.

Bukan itu sahaja, mereka juga dilatih dari segi jasmani bagi menjaga kesihatan, stamina dan suara.

“Latihan ada macam-macam elemen. Latihan jasmani lain. Kita nak jaga nafas, teknik pernafasan, pemakanan. Jadi ia bukan duduk mengaji al-Quran semata-mata.

“Kadang-kadang tak sempat nak buka al-Quran. Tapi dalam perjalanan, dalam MRT, kadang-kadang tengah kerja sambil buat kerja sambil baca al-Quran. Kadang-kadang dah sibuk sangat tapi mesti luangkan masa juga,” tambah beliau.

Bapa mereka juga ada berkongsi pengalaman bagaimana beliau mendidik dan membesarkan kesemua tujuh anaknya sebagai para pembaca al-Quran, menerusi video-video ‘Menyemai Juara’ di laman YouTube.

TILAWAH AL-QURAN RUANG PERTINGKAT MUTU BACAAN

Meskipun semasa kecil Ustazah Nurul ‘Izzah dan adik-adiknya digalakkan belajar tarannum dan menyertai pelbagai musabaqah tilawah al-Quran, keinginan untuk meneruskannya masih tetap menebal apabila mereka menginjak usia dewasa.

“Kita faham sendiri lah, benda ini bagus. Tak ramai orang buat. Al-Quran ini perjuangan. Kalau kita tidak ambil berat, siapa nak ambil berat? Seseorang harus memulakannya. Kalau kita pun tak ambil berat siapa nak ambil berat.

“Ini satu motivasi kerana tidak ramai yang mahir atau tahu atau ambil tahu. Jadi kami rasa macam perlu ada orang yang ambil tahu dan ambil berat dan sebarkan ilmu ini dalam masyarakat,” hujah Ustazah Nurul ‘Izzah, yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Pendidikan dan Al-Quran, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah.

Bagaimana agaknya andai kata gelaran Juara dan Naib Juara kategori qari dan qariah tahun ini, jatuh ke tangan keempat-empat adik beradik Khamsani ini? Itu tentunya satu lagi catatan sejarah yang akan terpatri dalam sejarah musabaqah tilawah al-Quran Singapura, malah mungkin juga di rantau ini sebenarnya.

Namun bagi keluarga Encik Khamsani itu, bukan itu yang diburu. Mereka jelas dengan matlamat asal yang ingin dikecapi.

Ustazah Nurul ‘Izzah berkongsi bahawa meskipun beliau dan adik-adiknya acap kali menyertai pertandingan tilawah al-Quran, tujuan mereka bukan untuk merebut gelaran juara. Sebaliknya, ia adalah sebagai wadah untuk mereka terus mempertingkat mutu bacaan.

Mentelah lagi, bacaan para qari dan qariah akan didengari dan diadili oleh ahli-ahli al-Quran daripada Singapura dan mungkin juga luar negara.

“Jadi kita tahu, bacaan kita dinilai oleh ahli-ahli al-Quran ini. Dari situ kita tahu nilai kita di mana. Kalau di rumah mungkin ‘syiok’ sendiri, kita rasa kita bagus. Tak ada tekanan. Pertandingan ada tekanan untuk kita lakukan yang terbaik. Jadi ia satu tekanan yang baik,” ujar beliau.

KENAPA PENTING LAGUKAN AYAT-AYAT AL-QURAN?

Bercerita tentang melagukan ayat-ayat suci al-Quran, beliau menekankan bahawa tarannum al-Quran bukanlah setakat membacanya dengan berlagu begitu sahaja. Ia lebih dari itu.

“Kalau kita tengok dari sudut lain pula. Sudut lagu. Kenapa macam lagu-lagu bahasa lain orang agung-agung kan, sampai tahap boleh pergi konsert? Walhal benda itu tak ada apa-apa. Hanya di sisi manusia sahaja.

“Tapi kenapa? Kerana lagu itu unsur seni...yang buat orang berasa sangat asyik. Jadi sepatutnya al-Quran yang patut diangkat seperti itu. Tapi sayangnya al-Quran pula orang baca biasa sahaja. Tapi lepas itu rasa seolah-olah membosankan. Ia jadi terbalik,” jelas beliau.

(Gambar-Gambar: Nurul 'Izzah Khamsani) 

Keluarga Encik Khamsani. (Gambar: Nurul 'Izzah Khamsani) 

Dengan Pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan 2019 bakal melabuhkan tirainya selepas pusingan akhir Ahad ini, harapan Ustazah Nurul ‘Izzah dan adik-adiknya hanyalah satu - dan pastinya ia bukan untuk mengejar gelaran juara.

“Bagi kami, kami buat yang terbaik kerana Allah. Mudah-mudahan Allah terima. Memang ia agak kerohanian (spiritual). Tapi bagi kami, memang itu tujuan kami. Kedudukan di tangga Satu, Dua, Tiga, Empat atau Lima, nak dikejar sangat itu tidaklah,” ujar Ustazah Nurul ‘Izzah.

LAPORAN LAIN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan