Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 bahan pembelajaran bahasa Melayu termasuk sebuah App baru dilancarkan

'Bitara Kata', aplikasi atau 'app' terbaru terbitan Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) yang dilancarkan hari ini (14 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda terlihat anak anda sibuk bermain telefon bijak, jangan cepat menerjah! Mungkin sahaja dia sedang membina kosa kata melalui 'Bitara Kata', aplikasi atau 'app' terbaru terbitan Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) yang dilancarkan hari ini (14 Mac).

Turut dilancarkan di acara sama adalah dua antologi cerpen oleh guru-guru tempatan berjudul 'Benih' dan 'Rahsia', serta set kad bacaan bertajuk 'Pintar Baca'.

Keempat-empat bahan pembelajaran ini dilancarkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, di Seminar Bahasa Melayu 2017. Acara tahunan itu dihadiri sekitar 580 para guru Melayu dari semua peringkat.

(Gambar: Taufiq)

BELAJAR MELAYU BUKAN HANYA "LATIH TUBI"

App permainan 'Bitara Kata' membolehkan pengguna meneroka alam maya untuk menimba lebih 10,000 kosa kata bahasa Melayu.

Wadah yang menghiburkan tetapi berfaedah ini antara kepelbagaian bahan pembelajaran yang merangkumi "bentuk bercetak atau menggunakan platform ICT", yang dipuji Encik Masagos di dalam ucapannya.

"Penting bagi guru memastikan bahawa bukan sahaja kandungan pengajaran yang mereka sampaikan tepat tetapi kaedah pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang dijalankan berkesan.

"Maksudnya, para pelajar mengambil bahagian secara aktif dalam pembelajaran, mencapai matlamat pembelajaran dan rasa seronok mengikuti pelajaran di bilik darjah," gesa Encik Masagos.

(Gambar: Taufiq)

Tambah beliau ini penting dalam membanteras tanggapan salah oleh murid, yang mendakwa bahawa tatabahasa Melayu hanya "perlu dipelajari melalui hafalan dan latih tubi".

PENDEKATAN MENYELURUH DAN SEMASA

Menurut pengarah MLCS Encik Mohamed Noh Daipi, Bitara Kata adalah app keempat yang diterbitkan pusat tersebut.

Selain kursus-kursus yang kerap dianjurkan bagi para guru, beliau berharap app sebegini dapat membantu keluarga berganding bahu membina keupayaan bahasa Melayu di kalangan murid.

"Kami harapkan juga keluarga akan mula menggunakan bahan-bahan ini apabila anak-anak mereka belajar membaca, dan kemudian itu cuba bermain perkataan atau kosa kata. Dan kami galakkan ibu bapa untuk bermain dan juga membaca bersama-sama anak-anak mereka," kongsi Encik Mohamed Noh.

(Gambar: Taufiq)

Juga, antara keperihatinan yang diutarakan para guru dalam acara hari ini adalah penggunaan bahasa Melayu yang salah di media sosial dan wadah perhubungan digital dan ICT.

"Tugas seorang guru ini, dia perlu ambil tahu dengan perubahan yang berlaku pada hari ini. Maksudnya, peduli dengan apa yang berlaku, supaya proses penambahbaikan, pembelajaran itu bersifat semasa," ulas Prof Madya Dr Indirawati Zahid dari Jabatan Bahasa Universiti Malaya, yang diundang menyampaikan ucap tama tahun ini.

Beliau membentangkan kertas berjudul "Menyempurnakan Kata, Menyampaikan Makna: Pengajaran dan Pembelajaran Aspek Kolokasi dalam Medan Makna".

Para guru yang hadir hari ini juga menimba manfaat daripada sesi pembentangan kertas-kertas kerja oleh para guru dan pameran bahan pembelajaran oleh 10 sekolah.

Applikasi Bitara Kata boleh dimuat turun secara percuma melalui iTunes dan Google Playstore.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan