Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4 ahli politik Melayu ulas isu rendahkan martabat wanita, permohonan maaf OKLETSGO

Golongan ‘influencer’ atau berpengaruh di media sosial mesti bertanggungjawab dalam menjaga etika dan kelakuan mereka di wadah online, dengan menunjukkan contoh yang baik kepada pengikut mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
4 ahli politik Melayu ulas isu rendahkan martabat wanita, permohonan maaf OKLETSGO

Encik Zaqy Mohamad dan Encik Amrin Amin. (Gambar fail: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Golongan ‘influencer’ atau berpengaruh di media sosial mesti bertanggungjawab dalam menjaga etika dan kelakuan mereka di wadah online, dengan menunjukkan contoh yang baik kepada pengikut mereka.

Demikian menurut Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad ketika mengulas komen-komen berbaur penghinaan terhadap kaum wanita dalam podcast yang dihasilkan OKLETSGO.

"Saya tidak berpeluang untuk mengikuti kesemua podcast mereka, tetapi saya setuju sepenuhnya bahawa komen-komen sedemikian yang tidak sensitif dan tidak menghormati kaum wanita tiada tempat langsung dalam masyarakat kita," tegas Encik Zaqy.

Beliau juga maklum tentang permohonan maaf OKLETSGO yang dibuat hari ini (15 Jun) atas kesilapan mereka dan usaha "meneliti semula pendekatan dan kandungan bagi rancangan-rancangan" mereka pada masa depan.

Malah, Encik Zaqy yang sendiri pernah muncul sebagai tetamu dalam podcast mereka, akur OKLETSGO antara lain membantu meningkatkan kesedaran tentang pelbagai skim yang dapat membantu masyarakat, melakukan kerja-kerja amal dan melibatkan masyarakat dalam membincangkan isu-isu sukar.

"Namun ini tidak bermakna mereka boleh melampaui batas. Sebagai masyarakat yang berhemah, terdapat batas-batas jelas yang kita mesti peka dan tidak boleh melampauinya. Ini termasuk menjatuhkan maruah kaum wanita. Malah kita tidak patut menghina sesiapa pun," tekan beliau.

Melalui episod ini, Encik Zaqy turut melahirkan rasa yakin OKLETSGO dapat bangkit dengan lebih baik lagi dan masyarakat juga perlu mendukung usaha mana-mana pihak "dengan penuh hikmah dan ihsan" bagi memperbaiki diri jika ada kesilapan.

"Semoga kita dapat mengambil iktibar dari episod ini dan melangkah ke hadapan bersama-sama dengan lebih matang dan kukuh sebagai sebuah masyarakat," ujar beliau lagi.

AMRIN: INI ADALAH SALAH; BERI RUANG BELAJAR

Sehubungan itu, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin juga mengulas mengenai komen-komen yang dikeluarkan tiga bekas penyampai radio yang mengendalikan OKLETSGO itu.

Beliau juga memberi pendapat dari sisi seorang bapa kepada anak perempuan, yang mana beliau mahu melihatnya memaksimumkan potensi, tidak terbatas oleh jantinanya serta bebas dari ancaman keganasan mahupun penghinaan jantina.

"Adalah penting untuk kita membina budaya kondusif yang menyokong wanita. Gurau senda juga boleh menyinggung, mengukuhkan stereotaip atau membuat orang memberi pandangan salah bahawa adalah 'okay' untuk melihat wanita sebagai objek.

"Ini adalah salah, dan sebagai masyarakat, kita harus menegur supaya perkara ini diperbetulkan. Kita juga harus memberi ruang kepada individu untuk berkembang dan belajar. Komen-komen berbaur penghinaan terhadap wanita di podcast OKLETSGO adalah salah," jelas beliau.

Encik Amrin melahirkan harapan ketiga-tiga mereka belajar daripada episod ini kerana beliau tahu mereka "berbakat dan orang yang baik hati".

"Ujian sebenar keperibadian seseorang itu adalah untuk mengaku kesalahan kita dan belajar daripadanya," ujar beliau.

SAKTIANDI & ZAINAL TURUT BERI PENDAPAT

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat juga membuat catatan di laman Facebook mengenai isu tersebut.

Pakar ekonomi Saktiandi Supaat. 

Beliau akur terhadap kenyataan Presiden Halimah Yacob bahawa sifat hormat dalam masyarakat dan keluarga adalah penting dan suatu proses sepanjang hayat.

Malah, memupuk sifat hormat terhadap wanita adalah prinsip penting masyarakat.

"Saya mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan dan bagaimana kita sebagai ibu bapa dan individu, bagaimana kita membimbang mereka atau menjadi peran contoh kepada mereka mengenai isu ini, akan menjadi proses berterusan bagi generasi akan datang.

"Terutama sekali dalam era media sosial, pengaruh terhadap minda anak muda adalah kuat. Memupuk rasa hormat kepada wanita dan melayan mereka sama rata harus menjadi prinsip penting dalam mana-mana masyarakat," tegas beliau.

(Gambar fail Encik Zainal Sapari)

Semalam (14 Jun), Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari juga memberi kata-kata ringkas berhubung isu ini.

"Saya ingin berkongsi dua petikan daripada Nabi Muhammad SAW mengenai wanita. Ada lebih banyak lagi tetapi saya harap #OKLETSGO dan kita semua merenungkan bersama nasihat yang diberikan oleh Nabi kita untuk maju ke depan."

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan