Images
  • hillview heights

4 aduan terhadap Savills Property Management tahun ini; tender bersifat diskriminasi, dedah TAFEP

SINGAPURA: Empat aduan dibuat terhadap ejen pengurusan kondominium yang mengeluarkan tender berbentuk "diskriminasi" bagi khidmat pengawal keselamatan di kondominium Hillview Heights. Keistimewaan pas kerja ejen itu kini sedang disemak oleh pihak berkuasa.

Kejadian yang melibatkan Hillview Heights itu merupakan kali keempat tahun ini di mana Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) menerima aduan terhadap Savills Property Management kerana "dokumen-dokumen tendernya mengandungi syarat-syarat yang berbentuk diskriminasi", kata seorang jurucakap TAFEP kepada Mediacorp pada Selasa (14 Sep).

Tender untuk khidmat pengawal keselamatan di Hillview Heights ditegur oleh Persatuan Keselamatan Singapura (SAS) dalam satu catatan Facebook pada 6 September atas apa yang disifatkannya sebagai "diskriminasi berdasarkan kaum dan usia".

Dokumen tender tersebut menyatakan bahawa denda S$100 bagi setiap syif akan dikenakan terhadap agensi pengawal keselamatan jika ia gagal menyediakan "seorang pengawal keselamatan yang boleh berbahasa Mandarin" lebih daripada enam syif setiap bulan. Surat amaran juga akan dikeluarkan.

Ia juga menyatakan bahawa pihak pengurusan boleh mendenda agensi itu S$100 setiap kali seorang pengawal keselamatan yang lebih muda daripada 21 tahun atau berusia 60 tahun ke atas ditugaskan "tanpa persetujuan pihak pengurusan terlebih dahulu".

Tender tersebut dimuat naik ke laman Really Singapore dan bertarikh 3 Sep.

SAVILLS "SEKALI LAGI" LANGGAR PANDUAN AMALAN KERJA ADIL

Berhubung tiga kejadian lalu yang berlaku tahun ini, TAFEP menyatakan Savills sudah menggugurkan "syarat-syarat bersifat diskriminasi" dalam dokumen-dokumen tender mereka setelah diminta berbuat demikian oleh TAFEP.

Savills juga diminta supaya menghadiri Bengkel Pengambilan Pekerja Secara Adil anjuran TAFEP untuk memahami dengan lebih baik lagi Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP).

"Walaupun sudah berkali-kali diberi nasihat oleh TAFEP tentang bagaimana untuk memperbaiki syarat-syarat dalam dokumen tender mereka, Savills sekali lagi melanggar TGFEP," menurut TAFEP semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Savills juga belum lagi secara rasmi menjawab permintaan TAFEP untuk memberikan penjelasan mengenai insiden terkini kecuali salinan selindung (bcc) kepada TAFEP semasa mengeluarkan kenyataan medianya kepada pihak media."

Lantaran itu, TAFEP "sangat-sangat menyarankan" kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) supaya mengambil tindakan terhadap Savills, dan kementerian itu kini sedang menyemak keistimewaan pas kerja Savills.

TENDER ASAL DIKRITIK OLEH PERSATUAN KESELAMATAN

Dalam catatan Facebooknya, SAS menyatakan terdapat "syarat-syarat lain yang turut membimbangkan" dalam dokumen-dokumen tender untuk Hillview Heights. Tetapi ia mengetengahkan dua syarat tersebut kerana "ia kelihatan seolah-olah akan menghukum agensi pengawal keselamatan selagi agensi itu tidak mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan dan pengerahan pengawal keselamatan".

SAS juga menyatakan bahawa pihaknya akan membangkitkan perkara itu kepada TAFEP dan MOM. 

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top