Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4,000 orang & 12 artis sokong, sertai konsert Dadah itu Haram di Kampung Admiralty

Konsert yang dianjurkan buat kali kedua Dadah itu Haram berjaya menarik sekitar 4,000 penonton - jumlah yang bukan sahaja melebihi sasaran penganjur, malah merupakan satu lonjakan tiga kali ganda berbanding konsert April tahun lalu di mana sekitar 1,000 orang hadir.

Anggaran Waktu Membaca:
4,000 orang & 12 artis sokong, sertai konsert Dadah itu Haram di Kampung Admiralty

(Gambar-gambar: Dadah itu Haram)

SINGAPURA: Di sesetengah negara lain, mungkin terdapat sebilangan artis yang ibarat memperagakan dadah sebagai sebahagian gaya hidup yang 'cool'.

Di Kota Singa pula, sebaliknya yang berlaku: para penyanyi dan pelakon berganding bahu menekankan padah buruk penyalahgunaan dadah dan sebulat suara menolak amalan buruk itu.

Demikian teras pendekatan konsert Dadah Itu Haram pada Sabtu malam (30 Mac), yang diadakan di Kampung Admiralty.

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, konsert yang dianjurkan buat kali kedua itu berjaya menarik sekitar 4,000 penonton - jumlah yang bukan sahaja melebihi sasaran penganjur, malah merupakan satu lonjakan tiga kali ganda berbanding konsert Dadah Itu Haram yang pertama April tahun lalu di mana sekitar 1,000 orang hadir.

"Ini membayangkan bahawa impaknya semakin ketara, semakin ramai yang tahu tentang kempen ini," jawab Encik Amrin yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, ketika diminta BERITAmediacorp untuk mengulas kejayaan konsert malam itu.

ARTIS YANG 'GANTUNG MIC' TURUT GANDING BAHU

Lonjakan jumlah penonton seiring dengan bertambahnya bilangan artis yang menjayakan konsert itu.

Jika tahun lalu tujuh artis Melayu-Islam tampil, tahun ini 12 artis menyumbang masa dan bakat, termasuk Ezad Lazim, Sufi Rashid, Sufian Suhaimi dan Aaron Aziz.

Pemenang Singapore Idol siri kedua dan Asian Idol, Hady Mirza, turut menyumbang lagu setelah sekian lama menyepi dari dunia hiburan. Hady sendiri pernah terbabit dalam kancah dadah tahun lalu dan diberkas serta menjalani pemulihan.

Hady Mirza (Gambar: Facebook/Dadah itu Haram)

BACA: EKSKLUSIF - Hady Mirza kini di luar tahanan; ucap 'terima kasih atas keprihatinan'
Selain menghiburkan penonton, Hady turut berkongsi tentang pentingnya tekad yang kuat serta sokongan padu masyarakat dalam membantu seseorang individu keluar dari kancah dadah.

Mengulas lebih lanjut tentang daya usaha ini, Encik Amrin berkata selain menyampaikan mesej tentang bahaya dadah menerusi wadah yang santai dan menarik, penampilan para artis cukup simbolik dan membawa mesej tersendiri.

"Kita mahu tunjukkan suatu alternatif. Hiburan yang baik, dan bebas dadah. Kita mahu tunjukkan, gaya hidup yang bersih (daripada dadah) adalah sesuatu yang kita pilih," kata Encik Amrin kepada BERITAmediacorp.

"Ia juga menunjukkan kita benar-benar satu suara. Apabila kita melihat para artis pun turut berganding bahu untuk menangani isu ini, ia membantu mendorong satu sama lain."

SUKARELAWAN TUNJANG KEMPEN 'DADAH ITU HARAM'

Dalam pada itu, Encik Amrin menekankan golongan yang sama penting yang menjayakan kempen Dadah itu Haram secara keseluruhannya: para sukarelawan.

Beliau mengambil contoh bagaimana konsert pada 30 Mac itu dijayakan dengan bantuan sukarelawan antara lain sebuah kelab pemandu van setempat, Abam-Abam Van, dan kumpulan penunggang motosikal Double Trouble.

Turut menarik apabila dikenang kembali bahawa sekitar 40 penunggang motosikal merupakan antara golongan relawan yang pertama memerah keringat (dan minyak motor) mengagih-agihkan 5,000 risalah dan pelekat 'decal' ketika kempen Dadah itu Haram mula-mula dilancarkan pada April 2017.

Hampir dua tahun berlalu, kempen ini secara keseluruhannya sudah menyaksikan pelibatan 300 sukarelawan dan 300 badan serta perniagaan yang sama-sama mendampingi hampir 100,000 anggota masyarakat.

'BILA NAK KE JURONG? KE CHUA CHU KANG?'

Meski kempen Dadah itu Haram sudah jelas berkembang sepanjang dua tahun lalu, perjalanan membanteras gejala merosakkan ini masih jauh lagi.

Dalam catatan di laman Facebooknya hari ini, Encik Amrin menarik perhatian mengapa ia satu perjuangan yang "payah".

"Ini perjuangan yang payah. Kita berada di pintu masuk Segi Tiga Emas (Golden Triangle), salah satu pusat dunia bagi penghasilan dan perdagangan dadah," tulis Encik Amrin.

Berkongsi dengan pihak BERITAmediacorp tentang langkah seterusnya bagi kempen ini, Encik Amrin mendedahkan antara lain, satu lagi konsert sedang dalam perancangan bagi separuh kedua tahun ini, di lokasi yang berbeza.

Beliau berkongsi maklum balas yang diterima yang membayangkan terdapat permintaan dari penduduk kawasan lain.

"Saya ketemu dengan seorang yang hadir, yang mendekati saya dan bertanya 'Bila pula nak adakan di Jurong? Saya datang dari Jurong nak saksikan (konsert) ini.' Saya kata, nanti kita buat undian, ya?" jawab Encik Amrin secara seloroh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan