Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

39 diberkas atas penipuan kerja, pancing data membabitkan lebih S$20 juta

Seramai 39 individu diberkas kerana disyaki memainkan peranan dalam penipuan pekerjaan dan penipuan memancing data membabitkan lebih S$20 juta, dedah polis hari ini (28 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
39 diberkas atas penipuan kerja, pancing data membabitkan lebih S$20 juta

Gambar: iStock

Diterbitkan : 28 Nov 2021 06:21PM Dikemas Kini : 28 Nov 2021 06:23PM

SINGAPURA: Seramai 39 individu diberkas kerana disyaki memainkan peranan dalam penipuan pekerjaan dan penipuan memancing data membabitkan lebih S$20 juta, dedah polis hari ini (28 Nov).

Seramai 35 lelaki dan empat wanita itu, berusia antara 16 dengan 65 tahun, ditahan menyusuli operasi penguatkuasaan antipenipuan merata negara antara 22 dengan 26 November.

Siasatan awal mendedahkan bahawa para suspek didakwa menjual akaun bank atau menyerahkan butiran Singpass mereka kepada sindiket-sindiket jenayah.

Para individu yang terbabit dijanjikan sebanyak S$5,000 bagi setiap akaun bank yang dijual atau S$400 bagi setiap butiran Singpass yang dijual. Namun, sebahagian besar mereka tidak mendapat yuran yang dijanjikan.

"Sesetengah mereka juga didakwa menyewakan akaun bank kepada para penipu atau membantu mereka melakukan pindahan dana dan mengeluarkan duit," menurut polis, sambil menambah siasatan sedang dijalankan.

Para mangsa penipuan pekerjaan pula ditipu selepas terpedaya oleh iklan-iklan yang menawarkan wang tunai segera di platform-platform media sosial dan aplikasi-aplikasi sembang.

Pekerjaan itu memerlukan mereka membuat tempahan di platform-platform online untuk menambah bilangan jualan. Mereka kemudian disuruh membuat bayaran untuk barangan-barangan itu menerusi pindahan wang kepada beberapa akaun bank.

Para mangsa awalnya menerima bayaran selain komisyen lumayan, menurut polis. Namun, apabila penipuan melibatkan mangsa membelanjakan duit yang banyak bagi tempahan mereka, individu yang berurusan dengan mereka mengenai pekerjaan itu tidak dapat dihubungi.

Mereka yang menjadi sasaran penipuan memancing data pula menerima pesanan teks untuk memberitahu mereka tentang kelayakan menerima wang tunai percuma sempena memperingati Dwiabad Singapura.

Pesanan teks itu kemudian akan mengarahkan para mangsa ke pautan URL yang didakwa palsu.

Sebaik sahaja mereka menekan pautan itu, para mangsa akan dibawa ke laman palsu yang menyamar sebagai laman bank Internet yang mahu dituju dan mereka akan diperdaya untuk memberi butiran perbankan Internet mereka.

"Para mangsa hanya sedar mereka ditipu apabila mereka mendapati melakukan pindahan wang tidak diluluskan daripada akaun-akaun bank mereka," menurut polis.

Mereka yang didapati bersalah menipu berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan didenda manakala mereka yang sabit kesalahan memalsukan wang berdepan tempoh penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum S$500,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang memudahkan akses tanpa kebenaran kepada bahan-bahan dari komputer berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan menjalankan perniagaan memberi bayaran tidak berlesen, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$125,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis menasihatkan mereka yang mencari pekerjaan supaya berasa syak wasangka terhadap iklan-iklan pekerjaan yang menjanjikan kemudahan bekerja dari rumah dan "gaji yang terlalu tinggi" untuk pekerjaan yang agak mudah dilakukan.

"Perniagaan-perniagaan yang sah tidak akan memerlukan mereka yang mencari pekerjaan menggunakan akaun bank mereka untuk menerima wang bagi pihak syarikat. Tindakan-tindakan ini adalah penipuan yang biasa digunakan oleh para penipu untuk memperdayakan para individu agar melakukan pemindahan haram bagi pihak mereka," menurut polis.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan