Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

34 pelawat Chinatown didenda tidak pakai pelitup; berkumpul lebih 8 orang

Seramai 34 orang didenda di Chinatown sejak 15 Jan kerana tidak memakai pelitup atau berkumpul lebih daripada lapan individu.

Anggaran Waktu Membaca:
34 pelawat Chinatown didenda tidak pakai pelitup; berkumpul lebih 8 orang

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Feb 2021 07:18PM Dikemas Kini : 03 Feb 2021 07:20PM

SINGAPURA: Seramai 34 orang didenda di Chinatown sejak 15 Jan kerana tidak memakai pelitup atau berkumpul lebih daripada lapan individu.

Setiap individu didenda S$300, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Rabu (3 Feb) dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp.

Bagi tempoh yang sama, 11 perniagaan di Chinatown didenda antara S$1,000 hingga S$2,000 kerana gagal menjaga jarak selamat 1 meter antara para pelanggan dan membenarkan perhimpunan melebihi lapan individu.

Langkah penguatkuasaan di tempat perniagaan dan daya tarikan pelancong diperketatkan sejak permulaan Fasa 3 pembukaan semula Singapura, menurut STB. Ini termasuk mengerahkan lebih ramai duta jarak selamat dan pegawai penguat kuasa di lokasi-lokasi yang dikunjungi ramai semasa waktu sibuk seperti sambutan Deepavali di Little India dan Krismas di Orchard Road.

Mulai 15 Jan, lebih ramai duta jarak selamat dikerahkan ke Chinatown untuk meronda kawasan itu setiap hari bagi memastikan langkah pengurusan selamat dipatuhi semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, menurut STB.

(Gambar: Mediacorp)

(Gambar: Mediacorp)

Persatuan Perniagaan Chinatown turut mengerahkan tenaga kerja tambahan untuk menyokong dan membantu usaha pelaksanaan langkah-langkah pengurusan selamat dan akan terus berbuat demikian menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Polis pula akan menangani sebarang kejadian yang melanggar undang-undang dan ketenteraman awam, tambah STB.

STB mengingatkan semua perniagaan dan orang ramai bahawa mereka perlu mematuhi langkah pengurusan selamat yang dikuatkuasakan sekarang. Ini termasuk menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup, memastikan mereka tidak keluar dalam kumpulan melebihi lapan individu dan melakukan daftar masuk SafeEntry.

"Para pembeli-belah digalakkan supaya merancang lawatan mereka ke Chinatown di luar waktu sibuk bagi mengelakkan kesesakan. Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap individu dan/atau perniagaan yang tidak mematuhi langkah pengurusan selamat. Ini termasuk hukuman denda, penggantungan operasi bagi kesalahan pertama dan pendakwaan bagi kesalahan berat."

STB menyatakan ia akan terus bekerjasama dengan para peniaga Chinatown, Persatuan Perniagaan Chinatown dan agensi-agensi Pemerintah yang lain bagi memastikan langkah pengurusan selamat dipatuhi di kawasan itu.

Langkah selanjutnya mungkin dilaksanakan bagi mengawal jumlah pengunjung, jika perlu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan