Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

34 pelajar NYP berjaya bina kapal terbang; institusi tempatan pertama berjaya melakukannya

Kesemuanya, 34 pelajar daripada empat kohort berbeza terlibat sebagai sebahagian daripada projek tahun akhir mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 34 pelajar Politeknik Nanyang (NYP) berjaya membina sebuah kapal terbang yang berfungsi sepenuhnya.

Ini sekaligus menjadikan politeknik itu, institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang mampu berbuat demikian.

Dirintis pada 2014, projek membina kapal terbang itu ditugaskan kepada dua pelajar dari Sekolah Kejuruteraan NYP setiap tiga bulan.

Kesemuanya, 34 pelajar daripada empat kohort berbeza terlibat sebagai sebahagian daripada projek tahun akhir mereka.

BERUPAYA TERBANG KE KL DAN PATAH BALIK KE S'PURA

Setelah empat tahun membinanya, kapal terbang sepanjang 6.7 meter dan seberat 600 kilogram akhirnya siap.

Ia mempunyai enjin yang berfungsi sepenuhnya, dilengkapi peralatan elektronik canggih dan boleh memuatkan seorang juruterbang dan seorang penumpang.

Pesawat STOL CH750 itu menggunakan enjin Rotax dan juga ada dua bahagian serta tempat letak bagasi.

Ia juga boleh terbang sejauh 700km iaitu seperti ke Kuala Lumpur dan pulang semula ke Singapura.

Bagaimanapun di bawah undang-undang penerbangan Singapura, pesawat itu tidak dapat diterbangkan dan hanya boleh dijadikan sebagai bahan pengajaran.

Dengan menugaskan para pelajar membina kapal terbang itu dari mula, NYP menyatakan perkara berkenaan membolehkan para pelajar untuk belajar tentang pelbagai tanggungjawab seorang kakitangan aeroangkasa.

Ini meliputi daripada tugas-tugas kejuruteraan kepada soal-soal penyenggaraan. Secara keseluruhannya, projek pelajar NYP itu menelan belanja S$120,000.

PENGALAMAN PERTINGKATKAN PENGALAMAN & MINAT

Antara mereka yang terlibat dalam projek itu adalah Zafri Kusaini dan Muhd Hariz Roslan yang kini merupakan para graduan kursus Teknologi Penerbangan & Aeroangkasa NYP.

"Projek ini mampu meningkatkan keyakinan diri para pelajar kerana jika hendak fikirkan perlu membina sebuah kapal terbang yang besar dan mahal sebegini bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

"Memang benar boleh belajar dari segi teori dan dari buku tetapi mendapat pengalaman amali sebegini adalah satu perkara yang berbeza," kata Zafri yang tamat pengajiannya di NYP pada tahun lalu.

Bagi Hariz pula, antara cabaran yang perlu dilalui adalah tentang perihal komunikasi. Ini kerana mereka membina kapal terbang itu tanpa sebarang manual dan mendapat bimbingan yang minimal daripada pensyarah mereka.

"Apabila saya membuat projek ini, ia memberikan saya lebih minat untuk membina kapal terbang dan kerana itu saya mendapat peluang untuk memasuki universiti dalam bidang penerbangan," ujar Hariz yang tamat pengajian di NYP pada 2016.

Zafri dan Hariz masing-masing akan melanjutkan pengajian mereka di dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan di universiti tempatan dan luar negara.

NYP berharap kejayaan itu dapat membakar minat para pelajar institut itu pada masa-masa akan datang untuk terus menceburi bidang aeroangkasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan