Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

32 pelanggan F&B didenda langgar peraturan COVID-19; 8 kedai diarah tutup

Seramai 32 pelanggan didenda S$300 setiap seorang kerana melanggar langkah pengurusan selamat COVID-19, seperti tidak memakai pelitup segera selepas makan atau minum di kedai makanan dan minuman (F&B), menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (29 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Sep 2020 06:52PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 09:01PM

SINGAPURA: Seramai 32 pelanggan didenda S$300 setiap seorang kerana melanggar langkah pengurusan selamat COVID-19, seperti tidak memakai pelitup segera selepas makan atau minum di kedai makanan dan minuman (F&B), menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (29 Sep).

Selain itu, lagi lapan kedai, termasuk Brewerkz di Riverside Point dan Siam Square Mookata di The Punggol Settlement, diarahkan tutup kerana melanggar peraturan itu.

Sebanyak 14 kedai juga didenda kerana melanggar pelbagai peraturan, seperti membenarkan lebih dari lima orang pelanggan duduk semeja dan membenarkan pergaulan antara pelanggan yang duduk di meja-meja berlainan.

8 CAWANGAN F&B DIARAH TUTUP

Lapan kedai yang diarahkan tutup selama 10 hari adalah: Brewerkz di Riverside Point, Siam Square Mookata di Punggol Point, Chicken Up dan Ggang Tong di Tanjong Pagar, gerai minuman di New Upper Changi dan Jalan Membina, Jamboree Bar & Cafe di Orchard Towers, dan Cafe de Muse di Shaw House.

Di Brewerkz, Ggang Tong dan Chicken Up, para pengendali membenarkan antara lapan hingga 12 pelanggan di dua meja berasingan bergaul, menurut MSE.

Di Jamboree, para pegawai melihat individu bercampur gaul dengan kumpulan pelanggan di meja-meja berlainan.

Siam Square Mookata diarahkan tutup apabila para pegawai melihat para pengunjung di dua meja mengambil minuman arak selepas 10.45 malam.

Gerai minuman di sebuah kedai kopi di 59 New Upper Changi Road juga diarahkan tutup selepas pelanggan di empat meja kelihatan mengambil minuman keras pada 10.50 malam.

Sebuah gerai minuman di Blok 26 Jalan Membina juga diarahkan tutup selepas seorang pelanggan kelihatan minum arak pada 11.20 malam.

Di Cafe de Muse, para pegawai melihat orang ramai beratur di pintu masuk tanpa mematuhi jarak selamat 1 meter.

Mereka juga mendapati imbasan suhu badan pelanggan tidak dilaksanakan dan jarak antara tempat duduk pelanggan adalah kurang dari 1 meter.

Lagi 14 kedai F&B - termasuk satu pesalah berulang - juga didenda kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat.

Sebanyak 13 daripada kedai itu didenda S$1,000 manakala satu lagi didenda S$2,000 atas kesalahan berulang, menurut MSE.

Secara berasingan, pemeriksaan ke atas 240 cawangan F&B di "diketahui kawasan panas" pada 25 dan 26 September mendapati 15 kedai melanggar langkah COVID-19.

"Agensi-agensi sedang meneliti semula pelanggaran itu dan langkah penguatkuasaan sewajarnya akan diambil, termasuk penutupan sementara dan denda," jelas MSE.

32 PELANGGAN DIDENDA

Seramai 32 individu juga akan didenda S$300 setiap seorang kerana tidak mematuhi langkah pengurusan selamat di kedai-kedai F&B, menurut MSE.

Ini termasuk berhimpun dan duduk dalam kumpulan lebih daripada lima orang dan bergaul antara meja berlainan.

Dua orang pelanggan juga didenda kerana tidak memakai pelitup semasa mereka bersembang di sebuah kedai F&B di Orchard, selepas mereka selesai makan dan meja telah dibersihkan.

Pihak kementerian menggesa para pelanggan untuk mengamalkan tanggungjawab sosial dan mematuhi peraturan, dengan memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelanggan dan premis yang melanggar langkah-langkah keselamatan.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Selasa menggesa para pelanggan agar bekerjasama dengan para pengendali F&B.

"Jumlah kes dalam masyarakat kekal rendah, hasil usaha bersama kita dalam mematuhi langkah COVID-19," katanya.

"Tidak mudah melakukan penyesuaian yang diperlukan untuk mengurangkan risiko penularan, tetapi kita perlu tetap waspada, sedang semakin ramai orang kembali ke tempat kerja.

"Dengan mencegah gelombang jangkitan baru, kita akan dapat terus bertemu dengan teman-teman dan para anggota keluarga dalam norma baru ini."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan