Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 tahun berbumbungkan kanvas, Aidilfitri 2020 'Tok Adi' beraya di rumah

Bayangkan tinggal di dalam semak samun, berdekatan tanah perkuburan Lim Chu Kang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bayangkan tinggal di dalam semak samun, berdekatan tanah perkuburan Lim Chu Kang.

Bukan untuk tempoh yang singkat tetapi selama tiga tahun!

Lebih menyedihkan lagi, keluarga tiga beranak yang tiada rumah itu, berlindung dari terik matahari dan hujan berbumbungkan kanvas sahaja dan berlantaikan tanah.

'Tok Adi', bukan nama sebenar, buta huruf dan sudah tinggal merempat sebelum akhirnya memilih tinggal di hutan itu.

Mujur, kehidupan lelaki berusia 54 tahun itu mendapat perhatian sekumpulan sukarelawan muda di bawah Project Hills.

"Dia (Tok Adi) tak ada air dia tak ada paip, jadi air dia dapat dari perigi dia korek sendiri. Di sana juga hutan jadi kita tahu, ada banyak nyamuk jadi apabila kami datang ke tempat ini, untuk bertemu ramah dengan dia untuk menolong dia, kita mendapati beliau sedang membakar daun-daun dan kayu kerana pada masa itu memang ada nyamuk yang datang," kongsi Encik Abdullah Ahmad, seorang relawan Project Hills.

LEBARAN DI RUMAH BARU

Namun, kini kehidupan 'Tok Adi' lebih terbela setelah Project Hills berjaya mendapatkannya sebuah rumah sewa dan baru berpindah ke sana Sabtu lalu (16 Mei).

Ini bermakna 'Tok Adi' akan dapat beraya di sebuah rumah yang sempurna.

Demi memastikan keselamatan anggota keluarganya terpelihara di tengah-tengah COVID-19 pula, Project Hills menghantar isteri dan anak beliau, kedua-duanya bukan rakyat Singapura pulang dahulu ke negeri asal, Batam, Indonesia.

"Selama ini kami tolong dalam menguruskan perumahannya dan kami juga menolong keluarganya untuk buat sementara ini pulang ke Batam, itu yang pertama sekali.

"Yang kedua, kami menolong dalam mendapatkan rumah untuk dia dan Alhamdulillah baru-baru ini juga kami mendapatkan rumah untuk dia, rumah sewa. Cuma lepas ini kami akan tolong lain-lain lagi," jelas Encik Abdullah.

Semua bantuan ini dapat dilakukan hasil kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Pusat Khidmat Keluarga (FSC) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Namun ini semua bukanlah tanpa rintangan.

"Cabaran yang kami hadapi apabila menolong 'Tok Adi' ialah untuk memujuk beliau dan keluarganya untuk keluar daripada kawasan perhutanan kerana beliau ada juga risau. Antaranya cara bagaimana untuk membiayai dan membayar rumah baru, adakah cara kehidupan mereka akan terjejas secara keseluruhannya, kerana mereka semua tinggal di sana buat masa yang panjang ," tambah Encik Abdullah.

BANTUAN BERTERUSAN

Dana sebanyak S$10,000 juga berjaya dikumpulkan Project Hills untuk 'Tok Adi'.

Derma orang ramai itu akan digunakan bagi membeli perkakas asas dan barang harian.

Bantuan seterusnya Project Hills ialah menyatukan 'Tok Adi' dengan anak dan isterinya nanti.  

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan