Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 pelajar cemerlang madrasah terima Anugerah Madrasah LBKM

Tiga pelajar madrasah yang cemerlang dijulang dengan Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) hari ini (29 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga pelajar madrasah yang cemerlang dijulang dengan Anugerah Madrasah Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) hari ini (29 Dis).

Mereka dipilih sebagai pemenang daripada 20 pencalonan yang diterima pada tahun ini. Jumlah itu naik hampir 50% berbanding jumlah pencalonan yang diterima pada edisi pertama tahun lalu.

MUHAMMAD SAFWAN ROSLI: MURID 2A*+2A

Bagi Muhammad Safwan Rosli, pengalamannya selaku murid Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah amat bermakna.

Dia mendapat dua gred A* bagi matematik dan bahasa Inggeris, serta dua gred A bagi sains dan bahasa Melayu bagi peperiksaan PSLEnya tahun lalu.

Malah Safwan juga cemerlang di luar bilik darjah dan menjadi Ketua Pemimpin Pelajar, kapten pasukan bola sepak madrasah dan pernah mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Nasional.

Hari ini dia mencatat satu lagi kejayaan membanggakan, iaitu menerima Anugerah Madrasah LBKM kategori PSLE dan dihadiahkan $500.

"Anugerah ini akan memberi saya semangat untuk terus bekerja keras pada masa hadapan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang Muhaddith suatu hari nanti.

"Saya rasa satu cabaran di Madrasah Irsyad adalah menjaga dan mengawas pelajar-pelajar lain. Keluarga saya memberi sokongan dan saya dapat menerima kerjasama daripada pelajar-pelajar lain,"kongsi Safwan lagi tentang masa yang dilaluinya di madrasah berkenaan.

SUMAIYAH SULAIMAN: PELAJAR MADRASAH DENGAN 7 'A'

Anugerah Madrasah LBKM kategori menengah pula diberikan kepada Sumaiyah Sulaiman dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang memberi hadiah $1,000.

Sumaiyah, yang kini menuntut di peringkat prauniversiti, mendapat tujuh gred A bagi GCE 'O' tahun lalu sehingga muncul sebagai pelajar terbaik madrasah bagi pengajian ukhrawi dan akademik.

Selain itu, Sumaiyah juga diiktiraf atas pencapaian di luar darjah dengan menjadi Naib Presiden Majlis Pemimpin Pelajar madrasahnya.

Remaja madrasah itu juga pernah memenangi tempat kedua dalam peraduan mereka video dan aplikasi peringkat nasional - XtremeApps. Meskipun hobinya menyunting video, cita-cita Sumaiyah lebih besar daripada itu.

"Saya beraspirasi untuk menjadi seorang kaunselor Islamik dengan menempuh bidang Syariah dan juga psikologi kerana saya ingin membantu masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam mengatasi masalah-masalah," kongsi Sumaiyah kepada BERITAmediacorp.

NUR HIKMAH: PELAJAR SERBA BOLEH DENGAN 6 'A'

Visi menyumbang semula kepada masyarakat juga menjadi wawasan penerima Anugerah Madrasah LBKM kategori GCE 'A', Nur Hikmah Md Ali, yang meraih 6 gred A dalam peperiksaan tersebut.

Bekas pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah itu sudah juga meraih banyak kejayaan sejak tiga tahun lalu, termasuk Anugerah Pelajar Madrasah MUIS, Anugerah Pemimpin Pelajar Cemerlang NextGen Goh Chok Tong, juara Bahas 4PM serta juara Tarannum sekolahnya.

Nur Hikmah, yang kini seorang mahasiswa di Universiti Nasional Singapura (NUS), menerima hadiah S$1,500 bagi Anugerah LBKM itu.

"Harapan saya selepas ini adalah saya berharap agar segala kejayaan yang saya kecapi dapat membantu masyarakat Melayu pada masa hadapan dan saya dapat memberikan sumbangan yang berharga kepada masyarakat kita.

"Saya harap generasi madrasah yang akan datang dapat menyumbang kepada masyarakat, bukan saja kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura tetapi mungkin masyarakat secara amnya," kongsinya.

Ini merupakan kali kedua Anugerah Madrasah LBKM itu dikeluarkan selepas diperkenalkan buat pertama kalinya tahun lalu.

Ia bertujuan menonjolkan kejayaan-kejayaan para pelajar madrasah tempatan serta menggalak mereka agar mencatat pencapaian lebih banyak lagi dalam bidang akademik, kepimpinan dan masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan