Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 masjid antara 15 monumen negara terima dana S$2.61 juta bagi pemulihan, penyenggaraan

Sebanyak 15 monumen negara akan menerima dana S$2.61 juta untuk membiayai kerja-kerja pemulihan dan penyenggaraan tahun ini, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Selasa (10 Sep). Ini termasuk tiga masjid iaitu Al-Abrar, Jamae Chulia dan Masjid Sultan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Sep 2019 12:35AM Dikemas Kini : 11 Sep 2019 04:53PM

SINGAPURA: Sebanyak 15 monumen negara akan menerima dana S$2.61 juta untuk membiayai kerja-kerja pemulihan dan penyenggaraan tahun ini, menurut Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Selasa (10 Sep).

Pembiayaan tersebut diagihkan menerusi Dana Monumen Negara yang ditubuhkan pada 2008 untuk membantu membiayai kos memelihara bangunan dan struktur bersejarah.

Daripada jumlah S$2.61 yang diperuntukkan tahun ini, S$2.5 juta diagihkan untuk membiayai bersama kerja-kerja baik pulih manakala S$115,000 pula untuk membiayai bersama kerja-kerja penyenggaraan monumen-monumen negara

Masjid Al-Abrar, Masjid Jamae Chulia dan Masjid Sultan adalah antara penerima dana penyenggaraan tahun ini.

Menurut NHB, Masjid Al-Abrar turut menerima dana penyenggaraan di bawah Dana Monumen Negara setiap tahun sejak 2016. Masjid Jamae dan Masjid Sultan kedua-duanya turut mendapat dana penyenggaraan pada 2016.

Selain ketiga-tiga masjid itu, Gereja St Andrew's, rumah ibadat Anglican tertua di Singapura, juga adalah penerima kali pertama dana tersebut.

Penerima lain tahun ini termasuk Kuil Thian Hock Keng, Gereja Nativity of the Blessed Virgin Mary, Saumaah Chesed-El dan Saumaah Maghain Aboth.

"Monumen-monumen negara kita adalah lambang penting masa lampau kita, dilindungi hari ini oleh masyarakat berbeza yang terus memanfaatkan khidmat mereka," kata pengarah jabatan Pemeliharaan Tapak dan Monumen NHB, Jean Wee.

"14 daripada 15 penerima geran tahun ini adalah pemohon berulang," tambah beliau. "Ini petanda baik yang menunjukkan kerja-kerja baik pulih sebelum ini menggalakkan mereka untuk meneruskan dan memperluas usaha pemeliharaan tapak-tapak itu."

NHB menambah, Masjid Sultan dan Masjid Jamae Chulia masing-masing mendapat dana pemulihan pada 2014 dan 2015.

Masjid Al-Abrar pertama kali menerima dana pemulihan pada 2017. Tahun lalu, masjid itu menerima kedua-dua dana pemulihan dan penyenggaraan, manakala Masjid Hajjah Fatimah menerima dana penyenggaraan.

Dana Monumen Negara diagihkan menerusi skim pembiayaan bersama yang bermatlamat menggalak pemilikan bertanggungjawab ke atas monumen negara.

Permohonan dibuka kepada monumen-monumen negara yang dimiliki dan diurus badan-badan bukan meraih keuntungan atau badan-badan keagamaan.

Buat masa ini terdapat 31 monumen negara yang layak menerima geran tersebut, termasuk:

  • Masjid Abdul Gaffoor
  • Masjid Al-Abrar
  • Masjid Alkaff Upper Serangoon
  • Masjid Hajjah Fatimah
  • Masjid Jamae Chulia
  • Pusat Warisan India Muslim Nagore Dargah
  • Masjid Sultan
Sumber : CNA/BERITAmediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan