Images
  • chinatown point carpark
    Petikan skrin video viral yang menunjukkan tiga lelaki bergaduh di tempat letak kereta Chinatown Point.

3 lelaki ditangkap, bergaduh di tempat letak kereta Chinatown Point

SINGAPURA: Tiga lelaki ditangkap selepas mereka dirakam bergaduh di sebuah tempat letak kereta di Chinatown Point.

Polis mengesahkan hari ini (21 Feb) bahawa lelaki-lelaki itu yang berusia antara 25 hingga 51 tahun, diberkas berhubung satu kes pergaduhan. Insiden berkenaan berlaku pada 9 Februari lalu sekitar 5.20 petang, menurut polis.


Video pergaduhan yang menjadi viral itu menunjukkan sebuah van sedang mengundur ke belakang untuk memasuki tempat letak kereta, dengan seorang lelaki mengarahkan pemandunya.

Pemandu sebuah kereta biru kemudian berhenti di hadapan van tersebut dan keluar daripada kenderaannya. Dia kelihatan sedang berbual dengan pemandu van itu sebelum lelaki yang mengarahkan pemandu van berkenaan sebentar tadi menghampirinya.

Ketiga-tiga lelaki tersebut mula bertumbuk dan menendang satu sama lain sebelum dihentikan oleh beberapa pejalan kaki.

Mediacorp difahamkan bahawa dua daripada lelaki itu, yang berusia 25 dan 32 tahun, adalah daripada van berkenaan sementara lelaki ketiga yang berusia 51 tahun itu merupakan pemandu kereta biru tersebut. Kedua-dua kenderaan berada di tingkat ketiga tempat letak kereta Chinatown Point ketika itu.

Siasatan polis sedang dijalankan.  

- CNA/SM/sm

Top