Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 lelaki didakwa atas tuntutan palsu insurans kenderaan bernilai S$74,000

Tiga lelaki berusia antara 25 dengan 31 tahun akan didakwa esok (5 Nov) kerana disyaki terlibat dalam membuat tuntutan palsu insurans kenderaan bernilai sekitar S$74,000.

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki didakwa atas tuntutan palsu insurans kenderaan bernilai S$74,000

Gambar fail

Diterbitkan : 04 Nov 2021 10:28PM Dikemas Kini : 04 Nov 2021 10:30PM

SINGAPURA: Tiga lelaki berusia antara 25 dengan 31 tahun akan didakwa esok (5 Nov) kerana disyaki terlibat dalam membuat tuntutan palsu insurans kenderaan bernilai sekitar S$74,000.

Polis menyatakan tuntutan-tuntutan itu berhubung kait satu kemalangan trafik antara dua kenderaan pada Mac tahun lalu, yang berlaku di Esplanade Drive di persimpangan Collyer Quay dan Fullerton Road.

Siasatan mendedahkan lelaki berusia 31 tahun yang didakwa pemandu salah sebuah kenderaan, tidak mempunyai lesen memandu yang sah semasa kemalangan berlaku.

Dia didakwa meminta seorang lelaki 26 tahun menipu sebagai pemandu kenderaan tersebut.

"Lelaki itu kemudian merekrut seorang lelaki berusia 25 tahun pula untuk menyamar sebagai penumpangnya dan untuk kedua-duanya menyerahkan tuntutan kecederaan palsu," menurut polis dalam satu kenyataan media hari ini (4 Nov).

Lelaki 25 tahun itu berdepan dua tuduhan bersubahat untuk menipu, yang membawa tempoh penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Suspek 26 tahun itu berdepan tiga tuduhan bagi kesalahan yang sama, serta lagi dua tuduhan melanggar sekatan ke atas perhimpunan sosial di bawah peraturan COVID-19 (Langkah-langkah Sementara) (Perintah Kawalan). Kesalahan itu membawa tempoh penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Lelaki 31 tahun tersebut pula berdepan beberapa tuduhan, termasuk dua tuduhan memandu tanpa lesen sah, dua tuduhan memandu kenderaan tanpa persetujuan pemiliknya dan dua tuduhan memandu tanpa perlindungan insurans.

Atas kesalahan memandu tanpa lesen sah, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. Jika disabit kesalahan memandu kenderaan tanpa persetujuan pemilik, dia boleh didenda sehingga S$1,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan.

Sesiapa saja yang memandu tanpa perlindungan insurans berdepan tempoh penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya. Para pesalah juga boleh dilarang daripada memiliki lesen memandu sepanjang setahun dari tarikh disabit kesalahan. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan