Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 lelaki diberkas susuli rompakan kedai barang kemas Ang Mo Kio

Tiga lelaki ditangkap atas tuduhan merompak sebuah kedai barang kemas di Ang Mo Kio kelmarin (14 Ogos), menurut polis pada Jumaat (16 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
3 lelaki diberkas susuli rompakan kedai barang kemas Ang Mo Kio

Petikan gambar dari rakaman CCTV menunjukkan suspek utama rompakan di kedai barang kemas dekat Ang Mo Kio. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 16 Aug 2019 04:35PM Dikemas Kini : 16 Aug 2019 04:38PM

SINGAPURA: Tiga lelaki ditangkap atas tuduhan merompak sebuah kedai barang kemas di Ang Mo Kio kelmarin (14 Ogos), menurut polis pada Jumaat (16 Ogos).

Ketiga-tiga suspek - berusia 27, 31 dan 36 tahun - diberkas dalam tempoh 36 jam menyusuli siasatan meluas oleh pelbagai unit polis. Menurut polis, barang-barang kemas yang dicuri termasuk rantai, gelang dan loket.

Cincin dan loket yang dicuri dari kedai barang kemas di Ang Mo Kio. 

Polis menyatakan pada Rabu bahawa perompak memanjat kaunter Hock Cheong Jade and Jewellery dan merampas barang kemas bernilai sekitar S$100,000 sebelum melarikan diri. Tiada senjata digunakan dan tiada yang cedera semasa kejadian itu berlaku.

Polis menambah suspek adalah seorang lelaki yang memakai topi keledar hitam, jaket biru dan sepasang seluar hitam sambil membawa sebuah beg hitam.

Suspek pertama diberkas dalam tempoh 15 jam di Marsiling manakala dua lagi lelaki diberkas di Woodlands dan Whampoa West.

Sekitar 120 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Risikan Polis, Divisyen Polis Ang Mo Kio, Divisyen Polis Bedok dan Divisyen Polis Woodlands terlibat dalam siasatan untuk mengenal pasti identiti para suspek yang berjaya membawa kepada penangkapan mereka.

Pelbagai barang kemas meliputi rantai dan loket dicuri dari kedai barang kemas di Ang Mo Kio. 

"Ini adalah satu rompakan berani yang dilakukan pada siang hari," kata Penolong Pesuruhjaya Kanan Polis Lian Ghim Hua, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah. Beliau berkata suspek rompakan utama "cuba sedaya upaya" untuk menyembunyikan identitinya bagi mengelak daripada dikesan dan ditangkap.

Lelaki berusia 27 tahun itu akan didakwa pada petang Jumaat manakala dua lagi suspek akan didakwa esok. Kesemuanya berdepan dengan tuduhan merompak atas tujuan yang sama.

Jika sabit kesalahan, setiap suspek akan menghadapi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sekurang-kurangnya enam kali sebatan rotan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan