Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 lagi pemandu bas saman SBS Transit berhubung pertikaian gaji

Tiga lagi pemandu bas SBS Transit (SBST) tampil ke depan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan mereka

Anggaran Waktu Membaca:
3 lagi pemandu bas saman SBS Transit berhubung pertikaian gaji

Bas SBS Transit. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 30 Dec 2019 07:06PM Dikemas Kini : 30 Dec 2019 07:10PM

SINGAPURA: Tiga lagi pemandu bas SBS Transit (SBST) tampil ke depan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan mereka. Para pekerja itu menyertai lima pemandu lain yang pada September, telah menuduh pengendali pengangkutan tersebut tidak membayar gaji kurang dan tidak memberi mereka hari rehat yang secukupnya.

Kesemua pemandu yang memfailkan tuntutan baru terhadap SBST itu juga mendakwa firma tersebut membuat mereka bekerja tambahan empat jam seminggu sebagai kerja lembur. Lantaran itu, mereka bekerja lebih 44 jam seminggu, yang melanggar Akta Pekerjaan.

Ketiga-tiga pemandu itu adalah rakyat Malaysia - Encik Huzainal Hussein, Encik Gan Kim Kiam dan Encik Thiyagu Balan.

Tindakan undang-undang tersebut, difailkan pada 24 Disember lalu, dilakukan sedang pengantaraan bagi lima pemandu bas terdahulu - tiga warga Singapura dan dua rakyat Malaysia - dijadualkan didengarkan pada 8 Januari depan.

Kesemua lapan pemandu berkenaan diwakili oleh Encik M Ravi dari Carson Law Chambers dan beliau memberitahu Mediacorp pada Isnin (30 Dis) bahawa lima anak guamnya yang pertama berharap majikan mereka dapat menyelesaikan "tuntutan munasabah" mereka melalui pengantaraan.

Dokumen-dokumen mahkamah yang dilihat oleh Mediacorp menyatakan bahawa salah seorang pemandu dalam kes tindakan undang-undang pertama, Encik Chua Qwong Meng, mendakwa beliau dikehendaki bekerja selama tujuh hari tanpa henti sebelum mendapatkan satu hari cuti. Ini bukan seperti apa yang dipersetujui antara beliau dengan SBS Transit berdasarkan surat pelantikannya.

Rekod juga menunjukkan masa bekerja Encik Chua tidak sepadan dengan surat gaji bulanan yang diterimanya, jelas beliau, sambil menambah bahawa beliau bekerja lebih 44 jam dalam seminggu tetapi tidak dibayar gaji kerja lembur.

TUNTUTAN TERBARU TERHADAP SBS TRANSIT

Dalam tuntutan terbaru terhadap SBST, Encik Huzainal, Encik Gan dan Encik Balan mendakwa mereka dikehendaki bekerja 12 hari tanpa henti - dari Selasa hingga dua Sabtu kemudiannya - sebelum diberikan dua hari cuti iaitu pada Isnin serta Ahad.

Jika tidak, mereka akan diberikan pengaturan untuk bekerja tujuh hari tanpa henti sebelum mendapatkan satu hari cuti, kata Encik Ravi.

Pengaturan seumpama itu juga satu "pencabulan terang-terangan" Akta Pekerjaan Seksyen 36(1) yang menyatakan bahawa setiap pekerja harus dibenarkan satu hari cuti pada setiap minggu, tambah beliau.

Selain itu, SBST juga melanggar kadar gaji yang ditetapkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk kerja-kerja yang dilakukan semasa hari cuti pekerja atas permintaan majikan mereka, jelas Encik Ravi.

Bagi gaji kerja lembur, Encik Ravi berkata para anak guamnya sepatutnya dibayar 1.5 kali kadar gaji setiap jam berdasarkan Akta Pekerjaan Seksyen 38(4).

Bagi lima pemandu bas dalam kes tindakan undang-undang pertama pula, tiga pekerja meminta ganti rugi, faedah berkanun sebanyak 5.33 peratus setiap tahun dan kos.

Mediacorp sudah menghubungi SBST untuk mengulas.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan