Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 kes keracunan makanan "tidak dapat dikaitkan dengan pasti": MOH

Kementerian Kesihatan (MOH) tidak dapat menetapkan dengan pasti adanya kaitan antara tiga kes keracunan makanan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
3 kes keracunan makanan "tidak dapat dikaitkan dengan pasti": MOH

Spize. (Gambar: Spize)

Diterbitkan : 01 Dec 2018 12:15PM Dikemas Kini : 01 Dec 2018 12:19PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) tidak dapat menetapkan dengan pasti adanya kaitan antara tiga kes keracunan makanan baru-baru ini. Demikian menurut MOH pada Jumaat (30 Nov) berdasarkan siasatan awal yang dijalankan kementerian itu.

Bagaimanapun ia mendapati bahawa jumlah kes keracunan makanan di Singapura sudah melonjak sebanyak 40 peratus dari tahun-ke-tahun dari Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada 10 bulan pertama tahun ini, MOH menerima sebanyak 271 aduan mengenai insiden keracunan makanan, melibatkan 1,768 kes. Pada tempoh yang sama tahun lalu, MOH menerima 272 pemberitahuan mengenai insiden keracunan makanan yang melibatkan 1,265 kes.

Jumlah insiden keracunan makanan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa turun naik sepanjang tahun dan dari tahun ke tahun, menurut MOH lagi.

Pada bulan November sahaja, lebih 400 orang jatuh sakit, melibatkan tiga kes keracunan makanan. Seorang mangsa meninggal dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kesihatan, Dr Chia Shi-Lu menekankan bahawa pihak berkuasa perlu memastikan punca kes keracunan makanan beramai-ramai yang berlaku baru-baru ini, sebelum sebarang tindakan pemulihan boleh dilaksanakan.

Profesor Madya Hsu Li Yang, seorang pakar penyakit berjangkit dari Sekolah Saw Swee Hock bagi Kesihatan Awam di Universiti Nasional Singapura, berkata bahawa bagi sebilangan kes, pencemaran berlaku pada sumber utama bahan dalam rangkaian makanan sebelum makanan yang siap dimasak disajikan di tempat-tempat makanan.

Beliau memberi contoh jangkitan salmonella yang berlaku baru-baru ini, melibatkan produk ayam belanda mentah di Amerika Syarikat. 164 orang di 35 negeri Amerika terjejas. Dalam kes-kes sedemikian, keracunan makanan menjejas bukan saja syarikat-syarikat katering, tetapi juga ahli keluarga yang membeli produk yang dicemari itu.

Dalam satu buletin berita MOH pada April, yang menyiasat kes keracunan makanan yang menjejas 86 pelajar dan kakitangan di sebuah sekolah asrama tahun lalu, rencana itu menyatakan bahawa sekitar 40 peratus hingga 60 peratus kes keracunan makanan mungkin disebabkan oleh cara penyediaan makanan yang tidak bersih.

Rencana itu turut menekankan bahawa beberapa bakteria yang menyebabkan keracunan makanan adalah dari jenis yang tahan panas dan tidak boleh dihapuskan dengan suhu tinggi semasa makanan dpanaskan semula.

Terdapat lebih 38,000 kedai makanan di Singapura, dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjalankan pemeriksaan secara mengejut bagi memastikan amalan kebersihan makanan dipatuhi.

Sehingga Jumaat (30 Nov), tahun ini, lebih 80 lesen gerai makanan digantung NEA i kerana sudah mendapat 12 mata demerit atau lebih dalam tempoh 12 bulan di bawah Sistem Mata Demerit.

Tahun lalu, NEA mengambil tindakan undang-undang terhadap 3,100 pengendali makanan dan menggantung lesen 135 pengendali makanan.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan