Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 kes baru COVID-19 tidak bergejala; termasuk 1 jangkitan di dormitori & 2 kes import

Tiga kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat 12.00 tengah hari Khamis (15 Okt) dengan satu jangkitan dalam dormitori dan dua kes import. 

Anggaran Waktu Membaca:
3 kes baru COVID-19 tidak bergejala; termasuk 1 jangkitan di dormitori & 2 kes import

Kawasan persinggahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi semasa pandemik COVID-19 melanda Singapura.

Diterbitkan : 15 Oct 2020 04:16PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 11:46PM

SINGAPURA: Tiga kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat 12.00 tengah hari Khamis (15 Okt) dengan satu jangkitan dalam dormitori dan dua kes import.

Ketiga-tiga kes yang dilaporkan pada Khamis tidak menunjukkan gejala dan dikesan menerusi saringan dan pemantauan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dengan jangkitan baru itu, jumlah terkumpul kes COVID-19 di Singapura adalah sebanyak 57,892.

HANYA SATU JANGKITAN DI DORMITORI

Satu-satunya kes yang dilaporkan di dormitori pada Khamis dikesan menerusi ujian rutin berkala dua minggu sekali bagi pekerja yang tinggal di dormitori.

Menurut MOH: "Ini membolehkan kami mengesan kes-kes dengan lebih awal, termasuk yang tidak menunjukkan gejala, supaya kami dapat mengasingkan mereka lebih awal bagi membendung penularan lanjut, dengan mengekang, mengesan dan mengasingkan kontak rapat secara agresif."

DUA KES IMPORT

Daripada dua kes import yang dilaporkan hari ini, seorang daripada mereka adalah wanita warga Singapura berusia 68 tahun yang pulang dari Amerika Syarikat.

Seorang lagi adalah pemegang permit kerja, wanita warga Indonesia berusia 41 tahun yang buat masa ini bekerja di Singapura dan baru pulang dari negara asalnya.

Kedua-dua kes dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN)sejurus selepas mereka tiba di Singapura dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada Rabu, menurut MOH.

KEMAS KINI MASYARAKAT

Tiada kes dalam masyarakat dilaporkan pada Khamis.

Bagaimanapun, kementerian itu menambah satu lagi lokasi ke dalam senarai tempat awam yang dikunjungi oleh kes-kes dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit - Restoran Mohammadi di 7 Lembu Road yang dikunjungi pada 10 Oktober antara 1.00 tengah hari hingga 2.00 petang.

Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot dari purata satu kes sehari pada minggu sebelumnya kepada purata kurang satu kes sehari pada minggu lalu, menurut kementerian itu.

"Jumlah kes yang tiada kaitan dalam masyarakat juga menurun dari purata kurang satu kes sehari pada minggu sebelumnya, menjadi tiada kes langsung pada minggu lalu."

MOH menambah bahawa kelompok di SCM Tuas Lodge (80 Tuas South Boulevard) sudah ditutup kerana tiada lagi kes dikaitkan dengan kelompok itu sepanjang dua tempoh inkubasi atau selama 28 hari.

Lagi 12 kes jangkitan COVID-19 dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menurut MOH.

Secara keseluruhannya, 57,764 sudah pulih sepenuhnya daripada penyakit itu dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Buat masa ini terdapat 36 kes yang disahkan masih dirawat di hospital.

"Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan tiada yang dirawat di unit jagaan rapi," tambah kementerian itu.

Seramai 64 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat, iaitu mereka yang mengalami gejala ringan, atau sihat dari segi klinikal tetapi masih positif COVID-19.

Seramai 28 orang meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan jangkitan COVID-19.

KES-KES DI DORMITORI 

Sebelum perangkaan pada Khamis dikeluarkan, Singapura melaporkan sifar kes baru COVID-19 di dormitori buat pertama kali dalam tempoh selama enam bulan pada Selasa.

Jangkitan dalam dormitori, yang menempatkan pekerja asing, membentuk sebahagian besar kes COVID-19 di Singapura dengan lebih 54,000 kes. Di kemuncak penularannya, lebih 1,000 kes baru dikesan di dormitori dalam tempoh sehari.  

Sumber : CNA/FZ/TQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan