Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 kenderaan dirampas kerana tawar khidmat bawa penumpang dari S'pura ke Johor

Tiga pemandu didenda manakala kenderaan mereka dirampas kerana secara haram menawarkan khidmat bawa penumpang dari Singapura ke Malaysia, menurut LTA pada Rabu (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
3 kenderaan dirampas kerana tawar khidmat bawa penumpang dari S'pura ke Johor

Pegawai LTA menjalankan operasi penguatkuasaan di Changi Business Park. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 13 Feb 2019 11:02PM Dikemas Kini : 13 Feb 2019 11:05PM

SINGAPURA: Tiga pemandu didenda manakala kenderaan mereka dirampas kerana secara haram menawarkan khidmat bawa penumpang dari Singapura ke Malaysia, menurut LTA pada Rabu (13 Feb).

Pemandu keempat didenda dengan pihak berkuasa merancang untuk juga merampas kenderaannya. Langkah itu belum diputuskan.

Empat pemandu terbabit disiasat secara berasingan dan didapati menghantar para penumpang dari Singapura ke Johor Bahru. Mereka menetapkan harga, yang disetujui para penumpang, tanpa memiliki Lesen Kenderaan Khidmat Awam (PSVL).

Setiap pemandu didakwa atas kesalahan menjadikan sebuah kenderaan untuk menawarkan khidmat awam tanpa lesen. Kenderaan juga dipandu tanpa perlindungan insurans sah. Keempat-empatnya mengaku bersalah ke atas dakwaan yang dikenakan dan didenda S$1,400 setiap seorang. Mereka juga dilarang memandu sebarang kenderaan selama 12 bulan.

Keempat-empat kenderaan tersebut berdaftar di luar negara.

"Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, semua kenderaan, termasuk yang berdaftar di luar negara, tidak dibenarkan menyediakan khidmat bawa penumpang di Singapura tanpa PSVL sah," tambah LTA dalam kenyataannya.

"Sesiapa yang didapati menggunakan kenderaan tanpa PSVL sah untuk menyediakan khidmat teksi atau bawa penumpang akan didakwa."

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$3,000 atau dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan juga boleh dirampas.

LTA PERGIAT PEMERIKSAAN PENGUATKUASAAN

Pada 2018, 13 pemandu ditahan secara berasingan kerana menggunakan kenderaan berdaftar di luar negara dan tidak berlesen untuk menyediakan khidmat seumpama itu, menurut LTA.

Pihak berkuasa sudah mempergiat kegiatan penguatkuasaan, di kawasan-kawasan seperti Lapangan Terbang Changi, HabourFront Centre dan East Coast Seafood Centre, yang terkenal dalam kalangan para pengunjung. Para pegawai penguatkuasaan juga kerap menjalankan operasi pencegahan di tempat-tempat ini.

"LTA menggesa orang ramai supaya tidak mendapatkan khidmat tempahan pengangkutan oleh pihak yang menggunakan kenderaan tidak berlesen," tambah LTA.

"Kenderaan-kenderaan seperti ini mungkin tidak dilindungi insurans dan para penumpang mungkin tidak dapat perlindungan insurans sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan ketika sedang melancong dalam kenderaan-kenderaan seperti itu."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan