Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 kematian di tempat kerja berlaku sejak 1 Jan, dedah MOM

Tiga orang maut akibat kemalangan di tempat kerja sejak 1 Januari tahun ini, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Ahad (19 Jan), sambil menggesa syarikat-syarikat untuk memastikan sekitaran kerja yang selamat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jan 2020 03:48PM Dikemas Kini : 19 Jan 2020 09:15PM

SINGAPURA: Tiga orang maut akibat kemalangan di tempat kerja sejak 1 Januari tahun ini, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Ahad (19 Jan), sambil menggesa syarikat-syarikat untuk memastikan sekitaran kerja yang selamat.

"Ini bukan suatu tanda baik dari sudut keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," menurut MOM.

"Dengan menjelangnya musim perayaan, beberapa beberapa firma mungkin meningkatkan kegiatan kerja untuk memenuhi tempoh selesai kerja. MOM mengingatkan semua syarikat peri perlunya menyemak semula amalan kerja dan memastikan agar langkah-langkah perlindungan sewajarnya dilaksanakan. Semua pekerja berhak bekerja dalam sekitaran yang selamat dan pulang ke rumah dalam keadaan yang selamat dan sihat kepada mereka yang tersayang," menurut kementerian itu katanya.

TERTIMPA SILINDER GAS

Dalam insiden pertama tahun ini, seorang pekerja ditimpa satu palet silinder gas yang tumbang pada 8 Januari.

Menurut Majlis Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (Majlis WSH), kemalangan itu berlaku apabila sekumpulan pekerja sedang memasang cerucuk menggunakan kren perangkak di sebuah tapak binaan.

Semasa kerja-kerja dilakukan, pengendali kren memusingkan kren dan palet silinder gas di sebelahnya tumbang, menghempap seorang pekerja berdekatan.

Pekerja itu diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.

Dalam kejadian kedua, seorang pekerja dihentak sebatang palang yang jatuh dari atas struktur kerja, menurut MOM.

Majlis WSH menyatakan empat pekerja ditugaskan untuk mengalihkan struktur kerja itu pada 11 Jan.

Namun semasa mereka memindahkannya, sebatang palang dari bahagian atas struktur kerja itu jatuh lalu terkena seorang pekerja.

Beliau meninggal dunia di hospital akibat kecederaannya.

Dalam kejadian ketiga, seorang pekerja jatuh dari kapal tunda ke laut, kata MOM.

BEBERAPA KEMALANGAN TEMPAT KERJA BAWA MAUT

Kadar kemalangan yang membawa maut di tempat kerja merosot lebih 75 peratus dalam tempoh 14 tahun yang lalu, dari 4.9 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2004 menjadi 1.2 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2018.

Pemerintah sedang berusaha untuk mengurangkan perangkaan itu ke 1.0 bagi setiap 100,000 pekerja dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Seramai 41 orang meninggal dunia akibat kecederaan di tempat kerja pada 2018, iaitu jumlah paling rendah, menurut data MOM.

Bagaimanapun, beberapa kemalangan maut baru-baru ini adalah satu kebimbangan, tegas MOM.

Perangkaan kematian di tempat kerja belum dikeluarkan bagi 2019, namun rekod MOM menunjukkan 25 orang meninggal dunia semasa bekerja antara Januari hingga September.

Namun begitu, pada bulan November sahaja, sembilan pekerja meninggal dunia semasa bekerja, mendorong MOM untuk meningkatkan penguatkuasaan di tempat kerja, menyasarkan industri-industri berisiko tinggi seperti pembinaan, marin, serta pengilangan.

Sebulan selepas bermulanya penguatkuasaan sepanjang dua bulan, MOM sudah menyelesaikan 230 daripada 400 pemeriksaan yang disasarkan, menurut kementerian itu pada Ahad.

Secara keseluruhan, empat tapak kerja dikenakan perintah berhenti kerja kerana berbahaya kepada pekerja.

Dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga minggu, arahan itu hanya akan ditarik balik selepas firma terlibat membetulkan kelemahan dan memperbaiki sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan tempat kerja, tegas MOM.

"Kami akan mengekalkan momentum operasi penguatkuasaan kami, mengambil pendirian lebih tegas terhadap mereka yang membahayakan para pekerja," tambahnya lagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan