Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 didenda adakan perjumpaan semasa Fasa 1 selepas langkah pemutus jangkitan

Tiga lelaki yang mengadakan majlis perpisahan untuk rakan sekerja mereka semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura, ketika perhimpunan sosial masih disekat, didenda pada Jumaat (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
3 didenda adakan perjumpaan semasa Fasa 1 selepas langkah pemutus jangkitan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 09:17PM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 09:19PM

SINGAPURA: Tiga lelaki yang mengadakan majlis perpisahan untuk rakan sekerja mereka semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura, ketika perhimpunan sosial masih disekat, didenda pada Jumaat (24 Jul).

Warga Malaysia Kalairasu Engaidurai, 27, dan Murugan Supramaniyam, 25, masing-masing didenda S$3,000, sementara Sugumar Govindan, 25, didenda S$3,500, kerana dia juga telah bertemu dengan enam orang lain di sebuah taman permainan.

Mahkamah diberitahu bahawa ketiga-tiga lelaki itu tinggal di flat yang sama dengan tiga rakan sekerja lain, David Elanggo, 24, Inderjeet Singh Ladman Singh, 23, dan Sanmugahnantan Kothandaraman, 30, kesemuanya warga Malaysia.

Mereka semua bekerja di syarikat yang sama, yang namanya tidak dikenalpasti dalam dokumen mahkamah.

Sebuah majlis perpisahan dianjurkan pada 11 Jun untuk dua rakan mereka, warga Malaysia Kamal Raj Subramaniam, 34, dan Saravanan Amariah, 36, kerana ia merupakan hari terakhir mereka bekerja.

Pesta itu diadakan di rumah yang dikongsi oleh enam lelaki itu, yang mengundang enam rakan sekerja lain termasuk yang akan meninggalkan syarikat itu.

Mereka semua berkumpul di flat itu dari 8.00 malam pada 11 Jun, semasa Fasa 1 pasca "pemutus jangkitan" dan sekatan ke atas perhimpunan sosial belum ditarik balik sepenuhnya.

Mereka meminum arak dan memainkan muzik dengan kuat semasa pesta selama tiga jam itu, kata Timbalan Pendakwa Raya Eugene Teh.

Pada sekitar 11.00 malam, seorang jiran melihat sekumpulan lelaki menyebabkan keadaan hiruk-pikuk di luar rumah itu dan bimbang pergaduhan akan berlaku.

Beliau menelefon polis, yang kemudian datang ke tempat itu.

Sebelum mereka tiba, Sugumar telah meninggalkan rumah itu bersama enam orang lain untuk merokok dan berbual dengan mereka di taman permainan berhampiran.

Ketika polis tiba, mereka melihat sekumpulan lelaki itu berbual dan tertawa di taman permainan itu, kesemuanya tanpa memakai pelitup.

Kalairasu, Murugan dan Sugumar masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan membenarkan orang lain memasuki ke tempat kediaman mereka untuk perhimpunan sosial untuk tujuan yang tidak dibenarkan.

Tuduhan kedua kerana bertemu dengan enam orang lain di taman permainan untuk tujuan sosial yang tidak dibenarkan diambil kira dalam pengadilan ke atas Sugumar.

Kerana melanggar peraturan COVID-19, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes-kes bagi lelaki-lelaki lain yang terlibat akan didengar kelak.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan