Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3 bekas pekerja Shell didakwa sogok inspektor kapal

Tiga bekas pekerja Shell Eastern Petroleum yang dituduh terlibat dalam penipuan untuk mencuri minyak dari loji penapisan minyak milik gergasi petroleum itu di Pulau Bukom didakwa di mahkamah pada Selasa (23 Feb) atas kesalahan-kesalahan berhubung rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
3 bekas pekerja Shell didakwa sogok inspektor kapal

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Feb 2021 02:04PM Dikemas Kini : 23 Feb 2021 02:09PM

SINGAPURA: Tiga bekas pekerja Shell Eastern Petroleum yang dituduh terlibat dalam penipuan untuk mencuri minyak dari loji penapisan minyak milik gergasi petroleum itu di Pulau Bukom didakwa di mahkamah pada Selasa (23 Feb) atas kesalahan-kesalahan berhubung rasuah.

Ketiga-tiga lelaki itu dituduh menyogok sebilangan pekerja dari pelbagai syarikat juruukur yang ditugaskan oleh Shell untuk memeriksa kapal-kapal yang dibekalkan dengan bahan bakar oleh Shell, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB). Mereka sebelum ini turut didakwa menyalahgunakan bahan bakar dari Shell Bukom.

Bekas kakitangan Shell, Juandi Pungot, 44 dan Muzaffar Ali Khan Muhamad Akram, 40, didakwa bersubahat untuk memberi rasuah bernilai kira-kira AS$91,900 (S$121,600) kepada 10 pekerja syarikat juruukur antara 2014 dengan 2017. Ia sebagai "upah dan ganjaran kerana tidak melaporkan dengan tepat jumlah minyak yang diisi dalam kapal yang mereka ditugaskan untuk memeriksanya,” jelas CPIB dalam kenyataan medianya.

Juandi dan Muzaffar masing-masing menghadapi 13 tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah, dengan tujuh tuduhan digabungkan.

Pekerja ketiga, Richard Goh Chee Keong, 51 tahun, didakwa memberi wang sogok sekitar AS$25,000 (S$33,000) kepada tiga pekerja syarikat juruukur antara 2016 hingga 2017.

Menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), suapan itu diberikan sebagai upah atau ganjaran "kerana tidak melaporkan dengan tepat jumlah minyak yang diisi dalam kapal yang sepatutnya diperiksa". Goh berdepan dengan empat tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Sesiapa saja yang disabitkan dengan kesalahan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, dihukum penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga tertuduh adalah antara hampir 12 pekerja Shell yang didakwa terbabit dalam penipuan terbesar melibatkan minyak kapal dari loji Shell di Pulau Bukom. Juga terlibat adalah pekerja pembekal bahan bakar utama Singapura, sebuah firma yang tersenarai di bursa London yang mengesahkan jumlah bahan bakar dan sebuah syarikat perkapalan Vietnam.

Reuters melaporkan pada 2018 bahawa minyak bernilai sekitar S$200 juta dicuri sepanjang tempoh selama beberapa tahun dari loji Shell, yang merupakan pusat pengeluaran dan pengeksport petrokimia terbesar di Asia Pasifik.

"Singapura mengambil pendekatan yang tidak akan bertolak ansur terhadap rasuah," tegas CPIB.

"Syarikat-syarikat sangat disarankan supaya melaksanakan prosedur yang kukuh dalam bidang-bidang seperti pemerolehan dan audit dalaman untuk mencegah daripada menjadi mangsa rasuah oleh pekerja mereka."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan