Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

3,739 flat ditawarkan dalam penjualan pertama HDB tahun ini

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 3,739 flat hari ini (12 Feb) dalam penjualan pertama flat BTO dan Tawaran-Semula Flat Baki (ROF) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Feb 2019 12:53PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 11:34PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 3,739 flat hari ini (12 Feb) dalam penjualan pertama flat BTO dan Tawaran-Semula Flat Baki (ROF) tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 3,162 adalah unit BTO yang ditawarkan menerusi lima projek - tiga di kawasan perumahan belum matang iaitu Jurong West dan Sengkang, dan dua lagi di kawasan estet matang Kallang Whampoa.

Lima projek yang dimaksudkan adalah Boon Lay Glade, Jurong West Jewel, Fernvale Vines, Kallang Breeze dan Towner Crest.

Flat-flat yang ditawarkan berharga antara S$95,000 bagi flat dua bilik Flexi di kawasan Boon Lay hingga S$523,000 bagi flat empat bilik di Kallang Whampoa.

Flat BTO Towner Crest. (Gambar: HDB)

Keluarga yang membuat permohonan buat kali pertama boleh mendapatkan geran perumahan bernilai sehingga S$40,000 di bawah Geran Perumahan CPF Tambahan (AHG) dan sehingga S$40,000 di bawah Geran Perumahan CPF Khas (SHG).

"Dengan geran-geran ini, para pembeli flat hanya perlu membayar serendah S$15,000 bagi flat dua bilik Flexi, S$110,000 bagi flat tiga bilik, S$197,000 bagi flat empat bilik, dan S$333,000 bagi flat lima bilik," menurut HDB.

Keutamaan akan tetap diberikan kepada para pemohon kali pertama yang sudah berkeluarga, tambah HDB. Mereka yang tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa mereka juga akan diberikan pilihan itu.

Pasangan yang ingin tinggal bersama ibu bapa mereka juga boleh membuat permohonan bagi flat Tiga-Generasi (3Gen) di Jurong West atau Sengkang. Mereka yang ingin tinggal berdekatan ibu bapa atau anak yang sudah berkahwin dalam projek BTO yang sama juga boleh menyerahkan permohonan bersama di bawah Skim Keutamaan Keluarga Berangkai.

TAWARAN SEMULA FLAT BAKI

Di samping flat-flat BTO yang ditawarkan, 577 flat yang belum ditempah dalam penjualan Flat Baki pada Mei tahun lalu juga akan ditawarkan.

Flat-flat tersebut terdiri daripada flat dua bilik hingga lima bilik, serta 96 unit flat 3Gen dan tiga flat eksekutif di pelbagai kawasan.

Sekurang-kurangnya 95 peratus bekalan flat akan diperuntukkan bagi pemohon kali pertama yang sudah berkeluarga dan sehingga lima peratus bagi keluarga yang membuat permohonan buat kali kedua, menurut HDB. Sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan, golongan lanjut usia juga boleh membuat permohonan bagi flat dua bilik Flexi.

Namun, keluarga-keluarga akan diberikan keutamaan dalam pemilihan flat.

HDB menyatakan sekitar 13 peratus flat ROF sudah siap dibina.

"Keluarga yang layak dan mempunyai keperluan lebih mendesak dan/atau mereka yang tidak begitu memilih tempat dan kemudahan, boleh membuat permohonan," tambah HDB. "Di bawah ROF, para pembeli rumah boleh memilih flat mereka dengan lebih cepat, dan mempunyai lebih banyak pilihan terdiri daripada pelbagai jenis di lokasi berbeza."

Harga bagi ROF di bawah penjualan ini bermula dari S$179,000 bagi flat tiga bilik di kawasan perumahan bukan matang. Harga flat 3Gen di kawasan perumahan matang bermula dari S$559,000.

Para pembeli yang berminat boleh membuat permohonan bagi flat-flat yang ditawarkan mulai hari ini (12 Feb) hingga Isnin (18 Feb). Bagaimanapun ini hanya untuk penjualan BTO atau ROF dan bukan kedua-duanya sekali.

Pelancaran flat HDB selanjutnya akan diadakan pada bulan Mei. Penjualan tersebut akan menawarkan sekitar 3,400 flat di Kallang Whampoa, Tengah dan Woodlands.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan