Images
  • hdb bto
    Orang ramai melihat model flat BTO di Hab HDB. (Gambar: TODAY/Wee Teck Hian) 

3,500 penghuni flat sewa berjaya beli flat sendiri sejak 2013

SINGAPURA: Sepanjang tempoh enam tahun lalu, sekitar 3,500 penghuni flat sewa berjaya membeli flat di bawah skim Bina-Ikut-Tempahan (BTO) atau melalui Penjualan Flat Baki (SBF).

Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), golongan tersebut sebelum ini tidak mampu membeli flat mereka sendiri tetapi kini berupaya melakukan demikian dengan kedudukan kewangan yang lebih mantap.

Mereka juga dibantu melalui pelbagai geran dan skim perumahan HDB.

Antaranya adalah keluarga Encik Suhaimi yang kini tinggal di sebuah flat tiga bilik baru di Jurong West.

Ini berjaya dicapai setelah lima tahun keluarga empat beranak ini menyewa sebuah flat dua bilik.

Isterinya Cik Mariamah Tukiran berkata: "Kita dah tinggal di rumah sewa selama lima tahun dan kami memilih untuk membeli rumah kerana kadar sewa bulanan agak mahal iaitu $250 setiap bulan."

TERIMA SEHINGGA 90% GERAN YANG DISEDIAKAN

Secara keseluruhannya, keluarga Encik Suhaimi menerima Geran Perumahan CPF bernilai $70,000 yang mereka layak menerima sebagai pemohon kali pertama.

Ini bermakna beliau mendapat hampir 90% daripada geran yang diberikan berdasarkan pendapatan keluarga.

HDB turut mendedahkan bahawa sekitar 6% pemohon menerima jumlah tersebut.

Bagi para pembeli flat jualan semula pula, geran yang diberikan boleh mencecah sehingga $110,000 setelah mengambil kira Geran Rumah Berhampiran.

Lantaran itu, keluarga Encik Suhaimi kini boleh membuat bayaran ansuran bulanan bagi flat baru mereka dengan menggunakan CPF tanpa sebarang bayaran tunai.

"Wang simpanan itu boleh diutamakan untuk anak-anak dan barang-barang rumah. Kita tinggal pun dekat dengan mertua dan ibu bapa, jadi senang," kongsi Cik Mariamah.

Para penghuni flat sewa yang ingin membeli buat pertama kali flat flexi dua bilik atau flat tiga bilik yang baru boleh membuat permohonan di bawah Skim Keutamaan Penyewa.

Di bawah skim ini, 10% daripada flat-flat baru yang ditawarkan akan dikhaskan untuk golongan tersebut.

Menurut HDB, sekitar 600 penghuni flat sewa berjaya membeli rumah mereka sendiri setiap tahun.

Top