Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2LT Muhammad Ilham Rizqullah Rohaizad berjaya capai impian jadi pegawai SAF, banggakan ibunya

Bagi Leftenan Muda (2LT) Muhammad Ilham Rizqullah Rohaizad, pentauliahan itu lebih bermakna bagi dirinya kerana beliau adalah yang pertama dalam keluarga besarnya yang menjadi seorang pegawai tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
2LT Muhammad Ilham Rizqullah Rohaizad berjaya capai impian jadi pegawai SAF, banggakan ibunya

2LT Muhammad Ilham Rizqullah Rohaizad yang menerima pentauliahan sebagai pegawai SAF pada 8 Sep 2021. (Gambar: PIONEER)

Diterbitkan : 09 Sep 2021 09:39PM Dikemas Kini : 09 Sep 2021 09:45PM

SINGAPURA: Bagi sesetengah orang, menjadi pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan. Namun bagi Leftenan Muda (2LT) Muhammad Ilham Rizqullah Rohaizad, pentauliahan itu lebih bermakna bagi dirinya kerana beliau adalah yang pertama dalam keluarga besarnya yang menjadi seorang pegawai tentera.

Kisah perjalanan beliau dipetik dari laman majalah PIONEER.

BERWIBAWA SEJAK DI BANGKU SEKOLAH

Meskipun 2LT Ilham sudah memegang peranan sebagai pemimpin sejak di politeknik, pemuda berusia 21 tahun itu hanya mula menanam cita-cita untuk melayakkan diri ke Sekolah Pegawai Kadet (OCS) semasa menjalani Latihan Asas Tentera (BMT).

"Saya tidak terfikir tentang (masuk ke OCS) semasa di bangku sekolah. Saya mula berminat untuk menjadi pegawai semasa di BMT setelah saya menyedari bahawa saya perlu bangkit untuk memimpin askar-askar lain," kongsi beliau kepada PIONEER.

Bapa saudara 2LT Ilham, yang dikecualikan daripada Perkhidmatan Negara (NS), juga adalah antara faktor yang mendorongnya memasuki OCS.

Kata 2LT Ilham: "Pakcik saya berkongsi pengalaman rakan-rakannya yang pernah menjalani NS serta pengalaman mereka yang (masih berkhidmat). Saya rasa bersemangat apabila mendengar bagaimana mereka memasuki OCS walaupun kriterianya ketat. Saya mahu mencabar diri saya sendiri."

SOKONGAN RAKAN-RAKAN

Walaupun 2LT Ilham tidak banyak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan latihan fizikal semasa BMT kerana beliau sudah berlatih sebelum mendaftarkan diri bagi NS, latihan fizikal di OCS adalah jauh lebih mencabar.

"Kami juga didorong oleh jurulatih OCS kami untuk mencapai Anugerah Emas untuk Ujian Kecekapan Jasmani Perseorangan (IPPT) kami," kenang 2LT Ilham.

Tambahnya lagi: "Masa paling sukar bagi saya semasa di OCS adalah ketika kami terpaksa mengangkat muatan yang berat sepanjang tempoh latihan selama lima hari. Kami semua sangat letih dan saya hampir-hampir berputus asa dan menyerah kalah.

"Syukur, saya dapat bertahan berkat sokongan rakan-rakan sepasukan. Mereka sentiasa memberikan saya dorongan dan sokongan. Saya tidak mahu mengecewakan mereka," kongsi beliau kepada PIONEER.

KEBANGGAAN IBU

2LT Ilham, yang datang daripada keluarga ibu tunggal, berkata bahawa ibunya sangat bangga dengan pencapaiannya.

"Saya anak tunggal, jadi saya satu-satunya harapan ibu untuk lakukan yang terbaik," luahnya.

Memandang ke hadapan, 2LT Ilham merancang untuk berkhidmat sebagai askar sepenuh masa dan mahu terus berbakti kepada negara sebagai seorang pegawai Pasukan Pengawal (Guardsman).

"Saya mahu menyumbang kepada pertahanan negara dan membanggakan ibu saya." 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan