Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

26 bandar rintis Rangkaian Bandar Bijak ASEAN

Sebanyak 26 bandar dari 10 negara anggota ASEAN dinamakan sebagai bandar perintis bagi Rangkaian Bandar Bijak ASEAN, menurut satu nota konsep yang dikeluarkan oleh blok serantau itu semalam (27 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
26 bandar rintis Rangkaian Bandar Bijak ASEAN

Gambar: Jawatankuasa Penganjur Sidang Puncak ASEAN ke-33.

Diterbitkan : 28 Apr 2018 09:25AM Dikemas Kini : 28 Apr 2018 09:29AM

SINGAPURA: Sebanyak 26 bandar dari 10 negara anggota ASEAN dinamakan sebagai bandar perintis bagi Rangkaian Bandar Bijak ASEAN, menurut satu nota konsep yang dikeluarkan oleh blok serantau itu semalam (27 Apr).

Nota konsep itu dikeluarkan sedang para pemimpin dari 10 negara itu mengadakan pertemuan di Singapura minggu ini bagi Sidang Puncak ASEAN ke-32. Ia melakarkan usulan untuk menubuhkan Rangkaian Bandar Bijak ASEAN.

Inisiatif yang diterajui Singapura itu dilihat sebagai platform usaha sama di mana sehingga tiga bandar dari setiap negara anggota ASEAN bekerjasama untuk mencapai matlamat yang sama iaitu pembangunan bandar yang bijak dan mampan.

Bandar-bandar yang dikenalpasti termasuk Singapura, Johor Bahru, Phuket, Yangon, Phnom Penh dan Vientiane.

Menjelaskan rasional di sebalik rangkaian berkenaan, nota itu menarik perhatian kepada cabaran-cabaran pembandaran yang pesat dan kesannya terhadap isu-isu seperti kesesakan bandar serta mutu air dan udara. Huraian teknologi dan digital boleh dimanfaatkan untuk menangani isu-isu tersebut dan memperbaiki mutu dan akses kepada khidmat, menurut nota tersebut.

UNSUR-UNSUR UTAMA RANGKAIAN BANDAR BIJAK ASEAN

Nota tersebut menarik perhatian bahawa meskipun ada beberapa unsur utama yang dikongsi di bawah rangkaian itu, setiap negara anggota akan melakarkan rancangan bertindak khusus bagi bandar masing-masing. Rancangan itu akan mengandungi projek dan tindakan khusus yang akan dijalankan antara 2018 dengan 2025.

Rangka Kerja Bandar Bijak ASEAN juga akan dibangunkan bersama oleh negara-negara anggota. Ia akan melakarkan takrifan blok itu bagi sebuah bandar bijak, mencatatkan dasar-dasar utama dan mengenal pasti matlamat utama yang diinginkan.

Draf awal bagi rangka kerja itu sudahpun disiapkan oleh Singapura dan diedarkan kepada negara-negara anggota bulan lalu. Matlamatnya agar ia dapat diluluskan di mesyuarat pertama Rangkaian Bandar Bijak ASEAN yang dijangka berlangsung Julai ini. Rangka kerja itu kemudian akan dilaksanakan para pemimpin di Sidang Puncak ASEAN ke-33 November ini. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan