Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

250 penduduk S'pura dapat masuk M'sia dengan bantuan MFA; sebahagian besar rayuan tidak diluluskan

Sejak Mac tahun lalu, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) membantu lebih daripada 250 rakyat dan Penduduk Tetap Singapura untuk memasuki Malaysia atas alasan urusan penting dan belas ihsan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Feb 2021 06:00PM Dikemas Kini : 02 Feb 2021 09:22PM

SINGAPURA: Sejak Mac tahun lalu, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) membantu lebih daripada 250 rakyat dan Penduduk Tetap Singapura untuk memasuki Malaysia atas alasan urusan penting dan belas ihsan.

Namun, sebilangan besar rayuan tidak diluluskan, kata Menteri MFA Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Selasa (2 Feb).

Beliau menjawab soalan yang diajukan Anggota Parlimen Sylvia Lim (WP-Aljunied) tentang bagaimana Pemerintah sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi membantu warga dan Penduduk Tetap Singapura (PR) yang ingin masuk ke Malaysia atas sebab-sebab seperti kematian anggota keluarga.

Sempadan antara kedua-dua negara ditutup sejak Mac akibat pandemik COVID-19.

Dalam soalan tambahannya, Cik Lim berkata beberapa rayuan oleh penduduknya untuk ke seberang tambak hanya sia-sia sahaja meskipun dengan bantuan MFA kerana tiada respons daripada kerajaan Malaysia.

Oleh itu, beliau bertanya jika MFA boleh mengambil pendekatan lebih objektif dalam memilih siapa yang boleh ke Malaysia supaya ia bukanlah situasi "kadangkala berjaya, kadangkala tidak".

Dalam respons, Dr Balakrishnan berkata keputusan muktamadnya terletak di tangan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.

Beliau juga berkata bahawa Singapura sudah mencapai satu persetujuan secara prinsipnya untuk mengadakan protokol perjalanan bagi mereka yang mahu merentas sempadan kerana kematian anggota keluarga.

Menurutnya lagi, perincian protokol itu sedang disiapkan.

Dr Balakrishnan juga menambah Singapura dan Malaysia mengekalkan komunikasi dan hubungan dua hala yang baik sepanjang pandemik ini.

"Keadaan COVID-19 sentiasa berubah dengan pantas hinggakan peraturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang dipersetujui sebelum ini ada kalanya dibuka dan digantung dengan cepat.

Oleh itu saya berharap agar anda semua memahami keadaan yang dinamik dan sukar ini.

"Saya meminta maaf bahawa kami tidak dapat meyakinkan Malaysia untuk meluluskan semua permohonan yang dibuat rakyat Singapura tetapi kami akan melakukan yang terbaik," kata Dr Balakrishnan.  

Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan