Images
  • kindergarten children
    Kanak-kanak di Tadika MOE yang terletak di Punggol View. (Gambar fail: MCI)

250,000 kanak-kanak bakal terima tokokan CDA S$200

SINGAPURA: Sekitar 250,000 kanak-kanak masing-masing akan menerima tokokan S$200 ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) mereka mulai pertengahan September 2021.

Setiap kanak-kanak rakyat Singapura berusia enam tahun dan ke bawah mulai tahun ini layak menerima tokokan tersebut, menurut Kementerian Kewangan (MOF) serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

"Tokokan ini sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan yang menyediakan keluarga dengan bantuan tambahan bagi menampung perbelanjaan untuk membesarkan anak mereka," menurut kedua-dua kementerian itu.

Ibu bapa yang layak akan menerima makluman yang memberitahu mereka tentang tokokan yang berjaya dilakukan.

Ibu bapa yang belum membuka CDA mesti berbuat demikian selewat-lewatnya pada 30 Jun 2022 agar anak-anak mereka boleh menerima wang tokokan itu, tambah MOF dan MSF.

Anak rakyat Singapura berusia tujuh hingga 20 tahun sudahpun menerima tokokan S$200 ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) mereka pada Mei lalu.

Wang dalam CDA boleh digunakan bagi keperluan pendidikan dan jagaan kesihatan seperti di pusat jagaan kanak-kanak berdaftar, tadika, sekolah pendidikan khas, penyedia program intervensi awal, penyedia peranti teknologi bantuan, hospital, klinik, farmasi dan kedai cermin mata.

Senarai penuh institusi yang diluluskan boleh didapatkan online.  

- CNA/FZ/fz

Top