Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

24 penulis muda Melayu sertai Pesta Penulis S'pura 2019

Jumlah penulis belia Melayu ini bukan saja meningkat malah turut menyajikan pelbagai jenis karya yang merangkumi beberapa bentuk seni moden dan juga tradisional, menurut SWF.

Anggaran Waktu Membaca:
24 penulis muda Melayu sertai Pesta Penulis S'pura 2019

Antara para penulis muda Melayu yang terlibat dalam Pesta Penulis Singapura 2019.

BERITAmediacorp: Secara keseluruhannya 24 penulis belia Melayu terlibat dalam Pesta Penulis Singapura (SWF) 2019 yang baru saja melabuhkan tirainya.

Jumlah penulis belia Melayu ini bukan saja meningkat malah turut menyajikan pelbagai jenis karya yang merangkumi beberapa bentuk seni moden dan juga tradisional, menurut SWF.

Trend yang memberangsangkan ini seiringan dengan tema SWF tahun ini iaitu Bahasa Kita Sendiri atau 'A Language of Our Own'.

"Pesta ini mampu menyediakan peluang untuk mempunyai ramai penulis dan pemikir daripada pelbagai budaya dan negara di bawah satu bumbung dengan mengupas isu-isu penting ini bersama," kata Pengarah Pesta Cik Pooja Nansi.

KARYA TRADISIONAL & MODEN DIPERSEMBAHKAN

Persembahan Perang Spontan semasa Pesta Penulis Singapura 2019. (Gambar: FB/ Rifa'ah)

Menurut SWF, antara acara yang menarik perhatian ialah Perang Spontan yang menampilkan ciri-ciri tradisional dan moden.

Acara ini membuktikan bagaimana penulisan penuh puitis dalam bentuk lagu tradisional seperti dikir barat boleh dicampuradukkan dengan muzik moden untuk sama-sama menarik minat setiap lapisan masyarakat.

Pelawak Singapura Mamat Bora yang terlibat dalam Perang Spontan berkata: "Ini adalah kali kedua Perang Spontan terlibat dalam SWF. Jadi saya rasa amat berbesar hati kami dapat diberi peluang sekali lagi.

"Kami merasakan ini adalah satu usaha melestarikan budaya dan bahasa Melayu dalam kalangan anak muda, memandangkan zaman ini lebih ramai anak muda yang fasih dalam bahasa Inggeris."

Seorang lagi penulis muda yang terlibat dalam Perang Spontan ialah Taufik Zulkeffly atau nama pentasnya Flique Mohamad.

Beliau bukan saja berbakat dalam bidang muzik hip-hop tetapi juga irama tradisional dan pernah mengarang lagu bagi beberapa rancangan televisyen dan radio di dalam dan luar negara.

BAKAT MUDA PRIHATIN TENTANG PEMBANGUNAN MASYARAKAT

Seorang lagi penulis muda yang terlibat ialah Nessa Anwar yang sebelum ini banyak menghasilkan karya-karya pementasan teater, filem pendek dan rancangan televisyen.

Bagi SWF kali ini, Nessa terlibat dalam dua acara iaitu ‘Words We Love: Lepak’ dan satu lagi ‘ETA 9 min’ bersama dengan kumpulan Main Tulis Group.

Kedua-dua acara berkenaan bukan saja mengupas tentang masyarakat secara am tetapi juga meninjau tentang bagaimana pembangunan masyarakat boleh dipertingkatkan lagi.

Para pelakon pementasan Rumah Dayak. (Gambar: FB/ Rupa co.lab)

Dalam pada itu, Nessa juga adalah seorang anggota pengasas kolektif teater baru iaitu Rupa Co. Lab.

Kolektif berkenaan akan menerbitkan satu pementasan berjudul 'Rumah Dayak' dari 21 hingga 24 November di Taman Warisan Melayu.

Orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat tentang pementasan itu melalui laman media sosial Rupa Co. Lab. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan