Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

24 kes muka bangunan tertanggal dilapor setiap tahun; 30,000 bangunan bakal diperiksa

Secara purata sebanyak 24 kes muka bangunan yang tertanggal dilaporkan kepada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Selasa (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
24 kes muka bangunan tertanggal dilapor setiap tahun; 30,000 bangunan bakal diperiksa

Struktur pelindung matahari roboh di bangunan perindustrian di Bedok. (Gambar-gambar: PC Tan/Facebook)

Diterbitkan : 15 Sep 2021 04:58PM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 05:03PM

SINGAPURA: Secara purata sebanyak 24 kes muka bangunan yang tertanggal dilaporkan kepada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Selasa (14 Sep).

Dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Radin Mas Melvin Yong, Encik Lee turut mendedahkan bahawa bangunan-bangunan yang berusia lebih 20 tahun dan setinggi 13 meter - kira-kira setinggi empat tingkat - akan menjalani pemeriksaan berkala pada bahagian muka bangunan bermula awal tahun depan.

Pemeriksaan tersebut mesti dilakukan oleh kakitangan terlatih setiap tujuh tahun, dengan BCA juga akan menjalankan semakan secara berkala bagi menjaga keselamatan awam, tambah Encik Lee.

Dalam responsnya kepada pertanyaan dari AP GRC Sengkang Louis Chia berhubung jumlah dan berapa kerap pemeriksaan muka bangunan dijalankan, Encik Lee berkata bahawa sekitar 30,000 bangunan dikehendaki menjalani pemeriksaan dalam kitaran pemeriksaan tujuh tahun pertama.

Ini menyusuli kejadian pada 22 Ogos di mana struktur pelindung cahaya konkrit sepanjang 40 meter di bumbung bangunan perindustrian di Bedok roboh.

Encik Yong juga bertanya tentang apa yang menyebabkan kejadian itu dan sama ada proses pemeriksaan bagi muka bangunan bukan kediaman perlu disemak.

Menyusuli kejadian itu, BCA mengarahkan pemilik bangunan tersebut, JTC, supaya mendapatkan khidmat seorang jurutera bertauliah untuk menjalankan siasatan terperinci dan menyarankan kerja-kerja pembetulan yang sewajarnya, kata Encik Lee.

Sebagai langkah berjaga-jaga, jurutera bertauliah tersebut juga akan memeriksa blok-blok yang terletak bersebelahan dengan ciri-ciri yang serupa dengan bangunan tersebut.

"Siasatan sedang dijalankan dan dijangka selesai menjelang hujung bulan ini," kata Encik Lee dalam responsnya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan