Images
  • josephine teo 11 ogos
    (Gambar: MCI)

24,000 kerja kosong, penempatan kerja ditawarkan menerusi pakej SGUnited antara Mac-Jul

SINGAPURA: Sekitar 24,000 pemohon kerja sama ada sudah berhasil mendapatkan pekerjaan atau menjalani program penempatan di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited antara Mac dengan hujung Julai, kata Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Selasa (11 Ogos).

Sebilangan besar daripada mereka diberikan kerja jangka pendek dengan tempoh kontrak sehingga 12 bulan.

24,000 jawatan itu adalah sebahagian daripada 92,000 jawatan keseluruhan yang ditawarkan kepada para pemohon kerja, kata Cik Teo di sidang media pada Selasa, sambil menyifatkan peranan itu sebagai "peluang-peluang yang sudah diikrarkan".

Sekitar 50,000 daripada jawatan itu adalah peranan yang dibiayai oleh Pemerintah - termasuk program penempatan yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat daripada sektor swasta - atau pekerjaan yang ditawarkan oleh agensi-agensi sektor awam.

Baki pekerjaan yang lain ditawarkan oleh para majikan sektor privet yang disenaraikan dalam portal pekerjaan rasmi MyCareersFuture.sg.

BANTUAN BAGI GOLONGAN PMET

Daripada 24,000 penempatan kerja itu, sekitar 40% adalah bagi peringkat PMET, menurut Cik Teo. Ini berbanding dengan nisbah tujuh daripada 10 bagi 92,000 jawatan yang diperuntukkan.

Ini disebabkan oleh proses pemadanan "kurang jelas dan mudah" bagi golongan PMET kerana para majikan "mencari padanan yang sesuai" dari segi kemahiran, pengalaman dan jangkaan gaji, menurut Cik Teo lagi.

Pihak berkuasa juga sedia maklum bahawa ia mungkin "lebih mencabar" bagi golongan PMET untuk dipadankan dengan pekerjaan baru kerana sektor atau peranan yang mereka diberhentikan mungkin sektor-sektor yang tidak lagi menggajikan pekerja seperti mereka, katanya. Oleh itu, golongan PMET perlu beralih ke pekerjaan atau industri yang lain.

Beliau juga berkata bahawa kebanyakan syarikat masih bersikap "agak konservatif" dari segi pengambilan pekerja baru.

"Sekalipun mereka tahu bahawa mereka mahu mengukuhkan modal insan syarikat mereka ... dan mereka sendiri mahu mengambil individu pertengahan kerjaya, tetapi mereka menyedari bahawa individu pertengahan kerjaya juga mempunyai jangkaan lebih tinggi, maka itu mereka agak keberatan untuk menawarkan pekerjaan itu."

"Oleh itu syarikat-syarikat kini meneroka wadah baru ini yang ditawarkan kepada mereka dan .... (kami berharap) individu itu - pertengahan kerjaya atau pertengahan usia berpeluang bekerja dengan syarikat itu. Ini memberikan syarikat itu peluang untuk menilai individu tersebut."

BANTUAN PEMERINTAH

Apabila ditanya tentang gesaan para pakar ekonomi supaya melanjutkan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bagi mengelakkan pengangguran dan syarikat gulung tikar, Cik Teo berkata Pemerintah sedang "meneliti secara aktif" sama ada bantuan lebih luas masih diperlukan.

"Kami sedar bahawa untuk menumpukan sumber-sumber bagi membantu para pekerja yang diberhentikan baru-baru ini, ia lebih baik jika ... terdapat asas kukuh tenaga kerja yang (masih) digajikan. Jadi ia sesuatu yang kami sedang meneliti secara aktif," katanya sambil menambah bahawa ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat "tidak lama lagi".

- CNA/HA/ha

Top