Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

23 cawangan makanan dan minuman langgar peraturan keselamatan COVID-19

Sebanyak 23 cawangan makanan dan minuman (F&B) didapati melanggar langkah pengurusan selamat COVID-19 semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh agensi-agensi pemerintah sepanjang hujung minggu lalu, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (15 Sep). 

Anggaran Waktu Membaca:
23 cawangan makanan dan minuman langgar peraturan keselamatan COVID-19

Sebuah cawangan F&B di Jurong East membenarkan 8 pelanggan duduk bersama di satu meja panjang dalam premisnya. (Gambar: MSE)

Diterbitkan : 15 Sep 2020 03:23PM Dikemas Kini : 15 Sep 2020 03:25PM

SINGAPURA: Sebanyak 23 cawangan makanan dan minuman (F&B) didapati melanggar langkah pengurusan selamat COVID-19 semasa pemeriksaan penguatkuasaan dijalankan oleh agensi-agensi pemerintah sepanjang hujung minggu lalu, menurut Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Selasa (15 Sep).

Pelanggaran peraturan melibatkan kumpulan melebihi lima orang duduk bersama atau bergaul antara meja-meja berlainan serta cawangan F&B yang menyediakan dan membenarkan pengambilan arak selepas pukul 10.30 malam.

Agensi-agensi pemerintah menjalankan rondaan tambahan di kelab-kelab malam pada 12 dan 13 September sebagai sebahagian daripada pemeriksaan yang dipertingkat bagi pematuhan langkah pengurusan selamat COVID-19, menurut MSE. Sebanyak 149 cawangan F&B yang "dikenali sebagai tempat tumpuan" diperiksa.

ALKOHOL DISEDIAKAN DALAM TEKO DI CAWANGAN F&B

Sebuah cawangan F&B di Orchard Road didapati menyediakan minum beralkohol dari teko logam kepada 13 pelanggan selepas 11.00 malam.

Sementara itu sebuah cawangan F&B di Chinatown menerima tempahan 10 pelanggan dan memperuntukkan dua meja bagi kumpulan tersebut dalam satu bilik jamuan privet.

Sekumpulan 15 orang yang lain turut dilihat di satu lagi cawangan F&B di Boat Quay. Para pelanggan mengambil tempat di empat meja bagi acara makan malam yang dirancang awal dan mereka saling bergaul antara satu sama lain, menurut MSE.

Satu lagi cawangan F&B di Jurong turut didapati membenarkan lapan pelanggan untuk duduk bersama-sama di sebuah meja panjang di premis berkenaan.

MSE tidak menyatakan nama 23 cawangan F&B yang mencabuli langkah keselamatan itu.

"Agensi-agensi sedang mengkaji semula pelanggaran peraturan dan tindakan penguatkuasaan yang wajar akan diambil, termasuk penutupan sementara cawangan itu dan denda. Maklumat lebih lanjut akan diberikan apabila tersedia," kata kementerian tersebut.

"COVID-19 KEKAL ANCAMAN BESAR"

Pemeriksaan penguatkuasaan yang dipertingkat itu melibatkan para pegawai daripada tujuh agensi pemerintah termasuk daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), kata MSE.

Agensi-agensi pemerintah lain termasuk Lembaga Taman Negara (NParks), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Agensi Makanan Singapura (SFA), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) serta Penguasa Darat Singapura (SLA).

Pemeriksaan itu dijalankan di samping pemeriksaan tetap yang dilakukan setiap hari ke atas cawangan F&B, termasuk kedai kopi dan pusat penjaja di merata Singapura. Lebih 3,000 pemeriksaan ke atas cawangan F&B dijalankan sepanjang hujung minggu," menurut MSE.

"COVID-19 terus menjadi ancaman besar. Makan di luar adalah kegiatan yang melibatkan risiko besar kerana orang berkumpul di tempat tertutup, tanpa pelitup dan buat tempoh masa yang lama," kata MSE.

Ia menambah meskipun kebanyakan pengendali F&B dan pemilik premis memastikan langkah pengurusan selamat dilaksanakan dengan betul, masih ada cawangan F&B yang terus melanggar langkah-langkah tersebut.

Dalam satu catatan Facebook, Menteri bagi Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu menggesa para pengendali F&B dan pelanggan untuk mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat.

MSE menyatakan agensi pemerintah akan terus meningkatkan pemeriksaan penguatkuasaan untuk memastikan kedai-kedai F&B mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19. Agensi itu menambah ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil "tindakan penguatkuasaan tegas" jika langkah-langkah tersebut dilanggar.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan