Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

222 terjejas wabak gastroenteritis dari 12 pusat Sparkletots PCF

Jumlah orang yang dipercayai terjejas akibat wabak radang perut dan usus, atau gastroenteritis di beberapa pusat prasekolah Sparkletots kendalian PCF meningkat kepada 222 orang, daripada 184 orang sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
222 terjejas wabak gastroenteritis dari 12 pusat Sparkletots PCF

Gambar fail Prasekolah Sparkletots

Diterbitkan : 29 Mar 2019 10:35PM Dikemas Kini : 29 Mar 2019 10:36PM

SINGAPURA: Jumlah orang yang dipercayai terjejas akibat wabak radang perut dan usus, atau gastroenteritis di beberapa pusat prasekolah Sparkletots kendalian PCF meningkat kepada 222 orang, daripada 184 orang sebelum ini.

Memberi perkembangan terkini pada Jumaat (29 Mac), seorang jurucakap PCF Sparkletots berkata para pelajar dan anggota kakitangan yang terjejas adalah dari 12 pusat berbeza. Sebelum ini, hanya tujuh pusat dilaporkan terjejas dengan wabak tersebut.

Sehingga jam 4.00 petang semalam (28 Mac), 25 orang dimasukkan ke hospital. 11 orang sudah dibenarkan pulang sementara yang lain dalam keadaan stabil.

Jurucakap berkenaan juga mengesahkan bahawa semua pusat yang terjejas mendapatkan khidmat Kate's Catering.

"Buat sementara waktu, makanan di pusat-pusat terjejas akan disediakan oleh tukang masak di prasekolah atau penyedia makanan lain," kata jurucakap tersebut.

Tujuh prasekolah yang terjejas terletak di Blok 210, Blok 270, Blok 290A, Blok 298B, Blok 262A, Blok 208 dan Blok 231 di Sengkang Central.

Prasekolah-prasekolah lain yang terjejas terletak di Blok 146A dan Blok 79B di Toa Payoh Central, Blok 326 di Punggol Coast dan Blok 221 di Paya Lebar. Prasekolah PCF Sparkletots di Punggol North turut terjejas.

"Kami memandang serius perkara ini dan kami memastikan para pelajar mendapat rawatan perubatan dan perhatian yang diperlukan, di samping menyediakan sokongan yang diperlukan kepada pihak-pihak yang terjejas," kata CEO PCF Victor Bay.

Encik Bay menambah, mereka sedang berhubung rapat dengan para ibu bapa yang terjejas dan sedang memantau keadaan para pelajarnya: "Bersama dengan para pengetua dan guru sekolah, pengurusan kanan saya dan diri saya sendiri, mengunjungi para pelajar terjejas di hospital dan sedang menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada mereka."

Beliau menambah, PCF akan terus memberi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan pengawal atur lain dalam siasatan mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini (29 Mac), MOH juga menyatakan bahawa terdapat 16 kes keracunan makanan atau jangkitan berpunca dari makanan, yang dilaporkan di Pusat Jagaan Pelajar P.L.A.N.

Siasatan ke atas semua kes sedang dijalankan, menurut MOH.

"Keracunan makanan atau penyakit bawaan makanan sering kali menyebabkan pesakit muntah-muntah dan mengalami cirit-birit yang kemudian mungkin mengakibatkan dehidrasi, terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak dan golongan warga emas. Penting bagi mereka yang terjejas untuk minum air mencukupi dan mendapatkan rawatan perubatan jika perlu," tambah MOH.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan