Images
  • construction
    Gambar fail di satu tapak binaan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

21 arahan berhenti kerja dikeluarkan; 10 kontraktor akan didakwa berhubung pembiakan nyamuk di tapak binaan

SINGAPURA: Sebanyak 21 arahan berhenti kerja dikeluarkan terhadap tapak-tapak binaan berhubung kesalahan berulang melibatkan pembiakan nyamuk, sedang Singapura berdepan dengan jumlah kes tertinggi wabak denggi.

10 kontraktor juga akan didakwa atas kesalahan berulang membabitkan pembiakan nyamuk, dedah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataan medianya pada Rabu (16 Sep).

Tapak binaan di Serangoon North Avenue 1, yang terletak di kawasan kelompok denggi, dikenakan arahan berhenti kerja pada Rabu. Arahan berhenti kerja juga dikeluarkan terhadap tapak tersebut sebelum ini pada 15 Julai.

"Tempat pembiakan nyamuk yang banyak dikesan di tapak berkenaan termasuk takungan air dalam unit-unit di aras lebih tinggi, dengan 50 atau lebih jentik-jentik di setiap tempat pembiakan," jelas NEA.

Dua arahan berhenti kerja juga dikeluarkan terhadap tapak binaan yang terletak di kawasan kelompok denggi di Arnasalam Chetty Road dan Kim Yam Road pada 20 Julai dan 9 September.

Tempat-tempat pembiakan nyamuk di tapak tersebut termasuk pemampat alat hawa dingin, lapisan kanvas, kotak penanam dan bingkai kayu, menurut agensi itu.

Selain itu, sekitar 250 saman dikeluarkan terhadap tapak-tapak binaan dari Januari hingga Ogos tahun ini.

NEA menyatakan pihaknya meningkatkan pemeriksaan di tapak-tapak binaan sejak "pemutus rantaian jangkitan", dengan memberi keutamaan kepada tapak-tapak dalam kawasan kelompok denggi dan berhampiran kawasan perumahan.

"Semua 1,213 tapak binaan sudahpun diperiksa sekurang-kurangnya sekali sejak bermulanya tempoh pemutus rantaian jangkitan," dedah agensi tersebut.

Pihaknya menambah jumlah tapak binaan yang didapati mempunyai tempat pembiakan nyamuk berkurangan, dengan penurunan 55 peratus disaksikan pada bulan Ogos bagi pembiakan jentik-jentik nyamuk Aedes berbanding bulan Julai.

Bagaimanapun, kes-kes berbilang tempat pembiakan nyamuk dan tempat pembiakan berulang terus dikesan di beberapa tapak binaan.

"Kes-kes pembiakan nyamuk yang mengerikan ini menunjukkan sebilangan pengurusan tapak binaan masih tidak menjalankan pemeriksaan kawalan asas penting, meskipun dalam keadaan denggi serius sekarang ini, dan komunikasi dan pendampingan menyeluruh berhubung pencegahan denggi sejak beberapa bulan lalu," jelas NEA.

Agensi tersebut menyatakan pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan kerap di tapak-tapak binaan.

KES MINGGUAN DENGGI MEROSOT, NAMUN TETAP TINGGI

Sebanyak 726 kes denggi dilaporkan minggu lalu, sedang jumlah jangkitan baru merosot buat minggu kelima berturut-turut.

NEA menjelaskan Singapura masih berada dalam musim denggi dan kes-kes mingguan masih boleh kekal tinggi menjangkaui bulan Oktober, jika langkah-langkah pencegahan nyamuk tidak dikekalkan.

Singapura sedang berada di tengah-tengah wabak denggi dengan jumlah kes tertinggi setakat ini. Rekod kes mingguannya melepasi bulan Jun, di mana 895 orang dijangkiti dalam masa hanya lima hari setengah.

Jumlah tahunan kes denggi juga mengatasi rekod pada awal bulan Ogos 2013.

Pada Rabu, NEA menyatakan sebanyak 29,206 kes denggi dilaporkan setakat ini, tahun ini.

Agensi berkenaan menambah pihaknya sudah menutup sekitar 89 peratus daripada 2,404 kelompok denggi yang dimaklumkannya sejak bermulanya tahun ini.

Bagaimanapun, ia mendedahkan jumlah kelompok denggi tetap tinggi, dengan kelompok-kelompok besar di lokasi-lokasi tersebut:

- Aljunied Road, Geylang Road dan Geylang East Avenue 1 dan 2

- Arnasalam Chetty Road dan Kim Yam Road

- Bukit Panjang Ring Road

- Arthur Road

NEA menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan majlis-majlis bandaran berhubung usaha pengurusan alam sekitar yang berterusan bagi memerangi kelompok-kelompok denggi tersebut.

- CNA/IM/im

Top