Images
  • bilingual

200 projek, S$27 juta diwujudkan sepanjang 10 tahun Dana Kedwibahasaan LKY ditubuh

SINGAPURA: Rakyat Singapura boleh mula memberi sumbangan kepada sumber-sumber bahasa ibunda menerusi Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Dana itu sedang meninjau kemungkinan memberi lebih banyak sokongan kepada kandungan dihasilkan para pengguna. Ia sebagai usaha untuk mendekati lebih ramai anggota masyarakat menerusi kerjasama dengan pelbagai rakan.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata demikian di acara meraikan ulang tahun ke-10 dana itu.

S$27 JUTA DIPERUNTUK BAGI SEKITAR 200 PROJEK DWIBAHASA


Dana itu juga akan terus menghasilkan sumber-sumber yang sesuai mengikut umur dengan konteks tempatan untuk membantu kanak-kanak dari segi pembacaan dan pertuturan.

Sepanjang 10 tahun lalu, dana itu memperuntukkan sekitar S$27 juta untuk sekitar 200 projek secara keseluruhannya bagi menggalak penggunaan Bahasa Ibunda dalam kalangan kanak-kanak dan belia.

Encik Chan berkata cara baru dan inovatif sentiasa dicari untuk membantu golongan kanak-kanak mempelajari dua bahasa.

Beliau menambah kedwibahasaan adalah teras kepada identiti kebangsaan rakyat Singapura, yang amat penting dalam dunia hari ini.

"Ia adalah satu komitmen untuk membina identiti tersendiri sebagai rakyat Singapura yang boleh memahami serta merapatkan perbezaan merentasi budaya, perspektif dan ideologi yang berlainan," kata Encik Chan.
Sementara itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga menegaskan bahawa Singapura berjaya untuk mengekalkan dasar-dasar dwibahasa selama lebih setengah abad dan ia membuahkan hasil positif.

"Ia bukan mudah untuk mempelajari dua bahasa, namun ramai rakyat Singapura yang belajar mengikut sistem pendidikan kita gembira mereka berusaha berbuat demikian. Mereka yang merantau ke luar negara akur akan kebaikan mempunyai asas dwibahasa," kata PM Lee menerusi ucapannya yang disiarkan secara online.

RAKAMAN PERJALANAN USAHA MEMUPUK CINTA BAHASA IBUNDA


Sempena meraikan ulang tahunnya yang ke-10, satu video dilancarkan untuk mempamerkan segala usaha dan perjalanan mengamalkan penggunaan dwibahasa.

Sejak 2014, pelbagai siri bengkel mengenai pembelajaran dan pengajaran bahasa dijalankan hasil sumbangan dana tersebut.

Menerusi bengkel-bengkel tersebut, para pendidik, ibu bapa serta para penjaga anak menimba ilmu dan strategi untuk memupuk cinta terhadap pembelajaran dwibahasa di sekolah mahupun di rumah.

Untuk memperkukuhkan pendekatan digital pula, dana dwibahasa itu melancarkan satu siri video pada 2018 sebagai usaha menggalak penggunaan bahasa ibunda di kalangan rakyat tempatan, terutama sekali kanak-kanak.

Siri video itu mengandungi cerita-cerita bagaimana bahasa ibunda dapat merapatkan jurang bahasa antara seorang datuk dan cucunya, serta testimoni para artis tempatan mengenai pengalaman mereka mendalami bahasa ibunda.

Demi mempertingkatkan lagi usaha untuk menggalakkan pembelajaran dan pendidikan bahasa ibunda, dana tersebut melancarkan projek #IAmBilingualSG untuk memberi sokongan dalam memupuk pembelajaran dwibahasa di kalangan anak-anak muda di rumah.

Dalam usahanya menggalakkan cinta kepada bahasa Melayu, dana tersebut juga memberi sokongan kepada projek dan inisiatif yang dirangkumkan dalam acara tahunan Bulan Bahasa kelolaan Majlis Bahasa Melayu.  

- BERITAmediacorp/sm

Top