Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

200 dipindahkan; sebilangan restoran ditutup susuli kebakaran di Shaw Centre

Kebakaran tercetus di Shaw Centre pada pagi Isnin (22 Nov), menyebabkan sekitar 200 individu dipindahkan dari pusat beli-belah di Orchard Road itu.

Anggaran Waktu Membaca:
200 dipindahkan; sebilangan restoran ditutup susuli kebakaran di Shaw Centre

Para pegawai polis dan anggota bomba di Shaw Centre.

Diterbitkan : 22 Nov 2021 01:32PM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 01:34PM

SINGAPURA: Kebakaran tercetus di Shaw Centre pada pagi Isnin (22 Nov), menyebabkan sekitar 200 individu dipindahkan dari pusat beli-belah di Orchard Road itu.

Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), ia dimaklumkan tentang insiden di 1 Scotts Road itu sekitar 10.50 pagi.

"Kebakaran itu melibatkan kotak litar elektrik di sebuah unit di tingkat dua premis tersebut," menurut SCDF.

Kebakaran berjaya dipadamkan menggunakan sistem pemercik air dan jet air yang digunakan oleh pasukan bomba.

Tiada kecederaan dilaporkan dan sekitar 200 individu "meninggalkan" premis tersebut sebelum SCDF tiba di tempat kejadian.

Gambar-gambar tempat kejadian menunjukkan beberapa kenderaan SCDF di Claymore Hill selain sekitar 10 anggota bomba. Orang ramai juga dilihat menunggu di kaki lima bangunan itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Les Amis Group menyatakan kebakaran tercetus di restorannya La Tapeira.

"Situasi sedang disiasat dan kami sedang bekerjasama dengan pasukan SCDF," menurut jurucakap syarikat tersebut.

"Kesemua kakitangan kami selamat dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan."

Kumpulan itu juga memiliki beberapa cawangan makanan dan minuman di pusat beli-belah itu, termasuk Bistro Du Vin, La Strada dan Tarte by Cheryl Koh.

"Demi keselamatan semua pengunjung dan kakitangan, kesemua cawangan kami di Shaw Centre akan ditutup buat sementara waktu hari ini sehingga siasatan selesai dijalankan sepenuhnya," menurut Les Amis.

La Tapeira, Bistro Du Vin dan La Strada mengumumkan di Facebook bahawa cawangan masing-masing akan ditutup hari ini disebabkan oleh "keadaan yang tidak dijangka."

Di akaun Instagramnya, Tarte mengumumkan ia menutup buat sementara waktu kedua-dua cawangan di Shaw Centre dan Raffles City.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan