Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

20 tahun selepas peristiwa 9/11, usaha perangi pengganasan belum nampak penghujungnya: PM Lee

Singapura perlu terus mengukuhkan lagi perpaduan setiap lapisan masyarakat, gesa Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Dari semasa ke semasa, kata beliau, ia perlu menyesuaikan keseimbangan rapuh yang sudahpun dicapai oleh setiap masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:
20 tahun selepas peristiwa 9/11, usaha perangi pengganasan belum nampak penghujungnya: PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar fail: Evelyn Hockstein/REUTERS)

SINGAPURA: Singapura perlu terus mengukuhkan lagi perpaduan setiap lapisan masyarakat, gesa Perdana Menteri Lee Hsien Loong. Dari semasa ke semasa, kata beliau, ia perlu menyesuaikan keseimbangan rapuh yang sudahpun dicapai oleh setiap masyarakat.

Usaha ini penting, menurut Encik Lee, kerana ancaman pengganasan itu nyata dan tidak akan reda.

Beliau berkata demikian dalam komentar yang dikeluarkan sempena ulang tahun ke-20 serangan 11 September ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York.

Biarpun dua dekad sudah berlalu selepas peristiwa 9/11, usaha memerangi pengganasan "tidak nampak penghujungnya", kata Encik Lee.

MEDIA DIGITAL MEDAN BARU SEBAR PENGGANASAN

"Pengganasan ektremis semakin berleluasa. Media digital telahpun menyebarkan racun ini. Al Qaeda digantikan oleh ISIS, yang kehilangan wilayah fizikal tetapi masih terus beroperasi termasuk di alam maya.

"Para penyerang yang bertindak sendirian menjadi radikal secara online. Sebahagian daripada mereka berpegang kepada ideologi jihad tetapi yang lain berpegang kepada ideologi ganas yang melampau," ujar Encik Lee.

Perdana Menteri juga menyentuh tentang perkembangan di Afghanistan.

Menurutnya dengan pengunduran Amerika Syarikat dari Afghanistan, Singapura harus memantau sama ada kumpulan-kumpulan berpangkalan di sana akan mengancam keselamatan kita sekali lagi serta di mana lagi medan baru pengganasan akan muncul.

PENGGANASAN GUGAT RASA SALING PERCAYA

Walaupun jarak memisahkan beribu batu, kumpulan-kumpulan pengganas adalah "ancaman serius" kepada Singapura, tekan Encik Lee.

Lebih daripada sekadar ancaman terhadap keselamatan fizikal negara, pengganasan mengundang bahaya lebih besar dari segi menggugat rasa saling percaya dan perpaduan sosial dalam masyarakat majmuk di Singapura.

"Namun, kita berpegang kepada kepercayaan yang dibina sejak bertahun lamanya antara masyarakat-masyarakat kita yang berbeza dan juga dengan Pemerintah untuk mengatasi isu-isu sensitif bersama-sama secara adil demi kebaikan bersama.

"Dalam krisis yang mengancam kewujudan kita, rakyat Singapura bertindak mengikut naluri untuk bersatu padu dan memberi respons yang tegas serta bersepadu untuk menjaga keselamatan diri kita," ungkap Encik Lee.

BERTEKAD KUATKAN DIRI

Namun, Encik Lee menarik perhatian keharmonian kaum di Singapura masih lagi terus diusahakan. Beliau berkata peristiwa 9/11 menunjukkan betapa hebatnya tekanan-tekanan yang boleh memecahbelahkan masyarakat Singapura.

Beliau menambah peristiwa itu juga suatu peringatan tentang bagaimana Singapura perlu berhati-hati ketika cuba membuat sebarang perubahan pada formula yang sudah berjaya mewujudkan keharmonian kaum dan agama di sini.

"Jangan sesekali menganggap bahawa kita telah dapat melenyapkan kecenderungan individu untuk berpihak kepada kumpulan-kumpulan kaum dan agama mereka sendiri," tegas Encik Lee.

Encik Lee berkata pengalaman bersama rakyat Singapura mengharungi peristiwa 9/11 dan akibat daripadanya adalah satu lagi bab formatif dalam perjalanan pembangunan negara.

"Pada ulang tahun ke-20 peristiwa 9/11, marilah kita bertekad untuk menguatkan diri kita agar sekiranya kita menghadapi ujian yang serupa satu hari nanti, kita akan dapat mengatasinya sekali lagi dengan lebih teguh sebagai satu rakyat yang bersatu padu," ungkap Encik Lee.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan