Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

20 tahun bekerja dalam sektor logistik, Salawati Esmail kembali semula ke bilik darjah tukar kerjaya jadi pegawai AETOS

Prospek pasaran buruh yang lemah membuatkan golongan pertengahan kerjaya bimbang tentang kesediaan para majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Prospek pasaran buruh yang lemah membuatkan golongan pertengahan kerjaya bimbang tentang kesediaan para majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Lantaran itu, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamed menyarankan supaya golongan itu untuk meneroka peluang kerjaya dalam bidang baru seperti keselamatan yang memerlukan tenaga kerja yang tinggi.

Pada usia 47 tahun, Cik Salawati Esmail kembali semula ke bilik darjah selepas 20 tahun bekerja dalam sektor logistik.

Kelas 12 minggu ini bertujuan mempersiapkan 'pemindahan' beliau kepada kerjaya baru sebagai pegawai polis tambahan dengan syarikat keselamatan AETOS .

Cik Salawati menyertai AETOS menerusi Program Penukaran Profesional (PCP), salah satu inisiatif kendalian agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).

"Saya memilihnya sebagai pekerjaan saya kerana saya rasa ia sangat stabil dan dalam masa yang sama saya dapat memainkan peranan saya dalam bidang keselamatan," Pegawai AETOS, SGT (APF) Salawati Esmail.

Kursus latihan itu antara lain memerlukan beliau lulus ujian kecekapan fizikal individu (IPPT) dan menembak.

"Yang menembak itu memang takut juga, rasa gementar tetapi Alhamdulillah saya dapat lulus kerana mereka prihatin untuk mengajar kita sampai kita semua lulus. Jadi tiada yang mustahil," kata Cik Salawati.

Meskipun tugas lalunya jauh berbeza, pengalamannya sebagai pekerja matang dialu-alukan.

Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamed berharap lebih ramai pekerja akan memanfaatkan pelbagai skim yang disediakan seperti PCP.

PCP adalah sebahagian daripada Pakej Penstabilan dan Bantuan sebanyak S$4 bilion yang diumumkan Belanjawan baru-baru ini demi membantu pekerja mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran bagi meraih peluang pekerjaan baru.

"Kita lihat adakah ilmu yang mereka telah mendapati 20 atau 30 tahun dahulu relevan kepada hari ini. Tapi, pada masa yang sama, pengalaman mereka saya rasa penting dan kita ingin mengekalkan pengalaman mereka tapi dengan mungkin ilmu baru," kata Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamed.

Mulai hari ini, para majikan yang mengambil pekerja berusia 40 tahun ke atas melalui skim-skim latihan semula seperti PCP akan diberi insentif.

Syarikat AETOS misalnya akan menerima sokongan gaji sebanyak 20 peratus dari pemerintah untuk selama enam bulan, bagi setiap pekerja yang layak, dihadkan pada S$6,000.

Encik Zaqy juga menggalakkan pekerja dalam pertengahan kerjaya untuk memanfaatkan Tambahan Kredit SkillsFuture yang disediakan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan