Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

20 mahasiswa SMU cedera dalam nahas bas di Vietnam

Seramai 20 mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) cedera apabila bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Vietnam.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 May 2019 07:23PM Dikemas Kini : 13 May 2019 11:30PM

SINGAPURA: Seramai 20 mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) cedera apabila bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Vietnam.

Para mahasiswa tersebut membentuk sebahagian daripada sekumpulan 30 peserta yang berada di bandar Hue untuk melakukan projek khidmat masyarakat di luar negara. Mereka sudah menyelesaikan projek itu dan sedang menghadiri program riadah apabila kemalangan itu berlaku pada 11 Mei, menurut kenyataan media SMU pada Isnin (13 Mei).

"Pada petang 11 Mei, satu daripada dua bas yang membawa kumpulan itu terlanggar bendul jalan raya. Impak kemalangan menyebabkan 20 penumpang tercampak dari tempat duduk masing-masing,"menurut SMU.

"Kecederaan yang dialami oleh 20 mahasiswa terjejas termasuk lebam dan melecet, hingga kecederaan lebih serius termasuk pergelangan tangan retak, tulang kaki retak dan kecederaan leher."

Para mahasiswa yang cedera sedang dirawat di Hospital Antarabangsa Hue Central, tambah SMU.

Menurut pihak universiti lagi, kedua-dua mahasiswa yang mengalami kecederaan kaki dan leher akan dihantar pulang ke Singapura menerusi ambulans udara sebaik sahaja doktor setempat mengesahkan mereka dalam keadaan sesuai untuk melakukan perjalanan itu. Kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil dan sedar, menurut SMU.

Akhbar setempat VnExpress melaporkan para mahasiswa sedang dalam perjalanan ke Taman Negara Bach Ma apabila bas itu berlanggar semasa turun bukit. Sekeping gambar menunjukkan sebahagian bas ternaik bendul jalan.

Dua warga Vietnam - pemandu bas dan pemandu pelancong - turut cedera, menurut laporan itu.

Tiga mahasiswa yang tidak cedera pulang ke Singapura pada Ahad petang, menurut SMU, yang turut menambah bahawa para mahasiswa lain memutuskan untuk terus berada di Vietnam untuk menyokong rakan-rakan mereka yang cedera.

"Para kakitangan SMU di Vietnam juga sedang berhubungan dengan Kedutaan Singapura di Vietnam, yang telah mengerahkan dua pegawai Kedutaan ke Hue untuk berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dan memberikan bantuan konsular kepada warga Singapura yang cedera," menurut kenyataan itu.

"Kami akan terus berhubungan dengan para pelajar kami untuk memantau keadaan mereka. Keselamatan mereka tetap menjadi keutamaan universiti, dan kami akan memberikan bantuan terbaik yang sewajarnya kepada mereka. "

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan