Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

20 kematian di tempat kerja dalam 6 bulan pertama 2018; kebanyakannya dari sektor binaan

Sebanyak 20 kematian di tempat kerja dilaporkan dalam separuh pertama 2018, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen pada Isnin (6 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
20 kematian di tempat kerja dalam 6 bulan pertama 2018; kebanyakannya dari sektor binaan

(Gambar hiasan: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 06 Aug 2018 04:40PM Dikemas Kini : 06 Aug 2018 04:48PM

SINGAPURA: Sebanyak 20 kematian di tempat kerja dilaporkan dalam separuh pertama 2018, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen pada Isnin (6 Ogos).

Perangkaan itu tinggi sedikit berbanding 19 kes yang dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Encik Zaqy, semasa menjawab pertanyaan AP Melvin Yong dan Desmond Choo.

Sebahagian besar kes itu adalah daripada industri binaan meskipun beberapa kemalangan yang membawa maut baru-baru ini adalah daripada sektor pengilangan dan tugas menyelam secara komersial, dedah Encik Zaqy.

Kematian di tempat kerja dalam sektor binaan sudah merosot sepanjang lima tahun lalu, dari 34 pada 2013 kepada 12 pada tahun lalu. Pekerja asing membentuk 88 peratus daripada kematian itu meskipun mereka adalah sebahagian daripada 75 peratus tenaga kerja industri binaan.

Punca yang paling kerap menyebabkan kematian di tempat kerja adalah kaedah kerja yang salah, kata Encik Zaqy, sambil menambah bahawa Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk meningkatkan tahap kesedaran mereka terhadap risiko kemalangan di tempat kerja masing-masing.

Menurut Encik Zaqy, MOM sudah mendampingi persatuan-persatuan industri dan para pekerja asing serta mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi meningkatkan kesedaran tentang risiko kemalangan di tempat kerja.

Pada Mei, MOM mengumumkan tambahan 750 pemeriksaan keselamatan selepas berlakunya beberapa kemalangan yang membawa maut dan kecederaan yang serius. 80 peratus daripada pemeriksaan ini sudahpun selesai dijalankan, kata Encik Zaqy.

Selain itu, enam arahan berhenti kerja turut dikeluarkan bersama 164 denda gabungan yang bernilai sekitar S$188,750.

AP Louis Ng turut bertanya tentang pemberitahuan yang diterima oleh MOM mengenai potongan gaji para pemegang permit kerja.

Sejak 2011, para majikan dikehendaki mengisytiharkan gaji asas dan gaji tetap para pekerja kepada MOM semasa memohon permit kerja bagi pekerja masing-masing.

Jika para majikan mahu memotong gaji para pekerja, mereka boleh berbuat demikian jika mereka sudah memperolehi perjanjian bertulis daripada para pekerja dan memaklumkan MOM mengenai semakan gaji itu.

Sejak tiga tahun lalu, MOM sudah dimaklumkan mengenai potongan gaji yang menjejas kurang dua peratus pemegang permit kerja yang bukan pembantu rumah setiap tahun.

Kurang satu daripada 10 pekerja sedemikian dipotong gaji dalam masa sebulan selepas permit kerja dikeluarkan, dengan sekitar empat daripada 10 pekerja seumpama itu dalam masa setahun.

"Seperti yang diterangkan dalam jawapan saya kepada pertanyaan yang diajukan oleh seorang AP berhubung topik ini pada bulan lalu, MOM sedang mengkaji isu ini dan akan mendapatkan maklum balas pihak-pihak berkepentingan yang relevan bagi menentukan langkah terbaik untuk menanganinya," kata Encik Zaqy.

Sumber : CNA/AW/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan