Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

20 individu dan pasukan diiktiraf wira teknologi, bantu masyarakat tangani COVID-19

Ketika kes baru COVID-19 mencapai paras yang tinggi tahun lalu, para pelajar mengikuti pembelajaran secara online di rumah sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengurangkan risiko jangkitan koronovirus.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketika kes baru COVID-19 mencapai paras yang tinggi tahun lalu, para pelajar mengikuti pembelajaran secara online di rumah sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengurangkan risiko jangkitan koronovirus.

Ini juga menjejas kelas tuisyen kendalian Yayasan MENDAKI.

Mujur, tampil ClassDo, sebuah platform pembelajaran online yang membantu lebih daripada 3,000 pelajar Melayu memerlukan untuk terus mendapat akses bimbingan menerusi tuisyen online semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Ini terutama sekali bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan nasional.

"Amat penting bagi kami untuk memastikan tiada jurang digital antara pelajar. Tidak kira latar belakang dan keluarga mereka, pelajar-pelajar ini berhak mendapat akses kepada pendidikan tanpa gangguan," kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ClassDo, Chung Chiew Farn.

Usaha ClassDo itu mendapat pengiktrafan pada Khamis (18 Mac) di Anugerah Pemimpin IT 2021 bertemakan Wira Teknologi Atasi Krisis.

Anugerah itu memberi penghargaan kepada mereka yang memberi kesan positif kepada masyarakat menerusi teknologi semasa krisis COVID-19.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Komputer Singapura.

Berucap di majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di hotel InterContinental Singapore, Menteri Perhubungan dan Penerangan S. Iswaran berkata Singapura memerlukan lebih ramai lagi wira teknologi seperti mereka.

Menurutnya, pemerintah membuat pelaburan besar untuk membekalkan penduduk dengan kemahiran digital dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura.

"Kami sudah melancarkan beberapa Program Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited tahun lalu dan sejak akhir Januari 2021, kami sudah pun menempatkan lebih 12,400 pencari kerja dalam perusahaan teknologi infokom," kata Encik Iswaran.

Masih ada hampir 19,000 peluang latihan dan pekerjaan yang ditawarkan, tambahnya lagi.

Sebanyak 20 individu dan pasukan diiktiraf dengan Anugerah Pemimpin IT itu.

CLASSDO BANTU PELAJAR MELAYU DAPAT AKSES TUISYEN MENDAKI

Menurut Penolong Pengarah Pendidikan MENDAKI, Sabrena Abdullah, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi MENDAKI termasuk menyalurkan lebih 7,000 pelajarnya daripada kelas fizikal kepada kelas online.

(Gambar: MENDAKI)

(Gambar: MENDAKI)

"Walaupun kelas fizikal ditutup, apa yang sangat kami banggakan adalah secara amnya, purata kehadiran murid-murid pada tahun lepas adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya," kata Cik Sabrena.

Bagi ClassDo pula, ia berbesar hati kerana dapat menolong pelajar meneruskan pembelajaran mereka.

"Kami bekerjasama dengan MENDAKI untuk memastikan bahawa tiada pelajar yang ketinggalan kerana semua orang berhak untuk mendapat peluang," kata Encik Chung.

ClassDo berharap untuk terus bekerjasama dengan MENDAKI bukan sahaja dalam program e-MTS ini tetapi juga dalam program-program lain yang ditawarkan MENDAKI. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan