Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

2 wanita muda Muslim ini tubuhkan 'Dana Perubatan' untuk pekerja asing yang cedera, tidak terbela

Kemalangan di tapak binaan tahun lalu mengakibatkan pekerja asing dari Bangladesh, Nobi Nur, cedera pada jari kirinya. Ibarat jatuh ditimpa tangga, tiga bulan lalu, Nobi tersungkur di tangga tempat tinggalnya di Cuff Road, ketika masih dalam proses pemulihan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemalangan di tapak binaan tahun lalu mengakibatkan pekerja asing dari Bangladesh, Nobi Nur, cedera pada jari kirinya. Ibarat jatuh ditimpa tangga, tiga bulan lalu, Nobi tersungkur di tangga tempat tinggalnya di Cuff Road, ketika masih dalam proses pemulihan.

Ini mengakibatkan kedua-dua pergelangan tangannya patah sehingga membataskan pergerakan pekerja asing berusia 30 tahun itu.

"Saya mahu lindungi diri semasa jatuh, saya gunakan kedua-dua tangan, kemudian patah, ini titik hitam dalam hidup saya," Nobi memberitahu BERITAmediacorp. Ekoran peristiwa itu, beliau juga sukar untuk menggunakan fungsi kedua-dua tangannya.

"Saya tidak boleh pegang apa-apa, saya tidak boleh gerak, tangan ini boleh sedikit, tetapi tangan ini masih tidak boleh gerak, tidak boleh angkat apa-apa, sangat susah untuk angkat botol atau gelas," cerita Nobi lagi.

Meskipun menerima pampasan $1,400 bagi kecederaan pertama, Nobi hilang arah dalam menyokong keluarganya sebagai pencari nafkah tunggal. Ini lebih-lebih lagi selepas majikannya menamatkan permit kerjanya dan masih belum membayar gaji tertunggak sebanyak 11 bulan, atau berjumlah sekitar $17,000.

"Saya tidak tahu boleh bekerja atau tidak, malah sepanjang hayat masih boleh bekerja atau tidak. Saya tidak pasti akan masa depan saya juga, saya ada anak, ada keluarga untuk biaya," rintih Nobi tentang dilema yang dihadapinya dek kecederaan tersebut.

TUBUHKAN DANA PERUBATAN KHAS

Disebabkan begitu prihatin dengan nasib pekerja asing yang cedera dan tidak terbela seperti Nobi, dua orang muslimah Singapura - Cik Shirin Chua dan Cik Ameera Begum - menubuhkan sebuah 'Dana Perubatan' untuk pekerja seumpama itu.

Menurut mereka, dengan ada dana seperti ini, bila-bila perlu, ia dapat sedikit sebanyak membantu pekerja asing yang cedera dan berlindung di pusat Transient Workers Count Too (TWC2), tanpa perlu menunggu sebarang kempen kutipan dana dijalankan.

Dana tersebut sebahagian besarnya terhasil daripada rayuan sumbangan zakat harta semasa Ramadan baru-baru ini.

SEKITAR $33,000 DIKUMPULKAN

Malah, derma orang ramai berjaya menjana sekitar S$33,000 baru-baru ini.

"Saya rasa ia amat penting untuk memberi sumbangan zakat kami kepada golongan asing ini kerana tiada badan Islam tempatan yang menjaga mereka," tekan Cik Ameera pula.

"Bagi golongan Singapura yang susah, mereka boleh mendapat bantuan melalui banyak inisiatif dan badan-badan tempatan. Saya rasa dengan mendapat sumbangan zakat golongan pekerja asing ini dapat merasakan mereka adalah saudara Islam kami."

Ternyata, kempen menggalak penyaluran zakat harta kepada para pekerja asing yang cedera - yang termasuk golongan asnaf miskin, ibnu sabil dan gharimin - disokong lima asatizah termasuk Ustaz Muhd Mazdiuky dan Ustazah Liyana Musfirah.

Yang jelas, Nobi agak beruntung, kerana proses mengutip dana menerusi pendanaan ramai itu, juga berjaya mengumpul lagi S$25,000 dan ia digunakan untuk membiayai pelbagai keperluannya.

Kesemuanya, kempen mengumpul dana itu dilakukan menerusi wadah pendanaan ramai Launchgood dan menarik sumbangan berjumlah S$59,000.

Menariknya, Cik Shirin adalah seorang peguam warga Singapura yang bertugas dan berpangkalan di Perancis. Cik Ameera pula warga Singapura yang tinggal di Kuala Lumpur di Malaysia.

Mereka membuktikan bahawa walaupun berada jauh beribu batu dan jauh antara satu sama lain, menyingsing lengan berbuat amal untuk golongan muslim yang memerlukan di Singapura masih boleh dilaksanakan selagi ada keinginan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan